Peniaga gerai durian Batu Tiga reda gerai diroboh

Peniaga gerai durian Batu Tiga reda gerai diroboh

am@hmetro.com.my

Kuantan: “Saya reda tetapi agak terkilan apabila semua 17 gerai menjual durian di Batu Tiga ini,” kata peniaga yang mahu dikenali sebagai Daut, 59.

Menurutnya, dia mengeluarkan modal lebih RM50,000 untuk menyediakan pelbagai kemudahan seperti lantai konkrit, kanopi, lampu, menambak tanah termasuk tempat rehat untuk pelanggan menjamu selera.

Katanya, namun semalam semuanya musnah sekelip mata selepas ia dirobohkan.

“Kawasan menjual durian termasuk buah-buahan tempatan di Batu Tiga terdapat 17 gerai jualan dan mula beroperasi sejak 2000, kami terdiri peniaga tempatan yang turut berniaga di pasar malam di daerah ini.

“Kami ada menerima notis pengosongan daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sebelum ini selepas mereka memutuskan tidak menyambung permit berniaga dan lesen bermusim.

“Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan juga mengeluarkan notis pengosongan kawasan berkenaan.

“Saya bercadang mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku, namun nasib tidak berpihak pada peniaga apabila Bahagian Penguat Kuasa MBK terlebih dahulu menjalankan tugas mereka,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini pihak berwajib ada memberi cadangan untuk mereka berniaga di tapak perniagaan di Tanah Putih Baru, namun kawasan berkenaan kurang sesuai kerana mudah dinaiki air.

Katanya, gerai durian di Batu Tiga kini sudah menjadi produk pelancongan baharu di daerah ini terutama setiap kali musim durian, penggemar raja buah tempatan termasuk Singapura singgah untuk mendapatkan pelbagai durian kampung dan klon.

“Kemuncak musim durian kami peniaga mengambil pendekatan mengupah dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) setiap malam untuk mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan berlaku terutama pada waktu malam dan setakat ini tidak ada kemalangan berlaku.

“Saya dan peniaga lain reda dengan apa yang berlaku semalam, kami patuh dengan undang-undang pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, kami tidak menyangka apa yang berlaku apabila dalam sekelip mata kawasan berniaga kami musnah,” katanya yang masih mengharapkan ada sinar buat peniaga.

Rakannya yang mahu dikenali sebagai, Deris, 57, berkata, peniaga masih mengharapkan pihak berkuasa dapat memberi kebenaran untuk mereka meneruskan jualan durian di kawasan terbabit, mereka berjanji untuk mematuhi semua syarat dan peraturan ditetapkan oleh MBK dan PDT Kuantan.

“Gerai jualan durian Batu Tiga Jalan Gambang-Kuantan terkenal dalam kalangan penggemar raja buah itu, mereka datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan termasuk Singapura semata-mata untuk membeli pelbagai jenis durian sambil melancong di daerah ini.

“Tapak baharu yang mungkin disediakan oleh MBK selepas ini, namun kemeriahan dan sambutan pelanggan pasti tidak sama dengan apa yang berlaku di gerai jualan durian Batu Tiga. Selain menjual durian terkenal seperti Musang King, IOI, D24 dan Duri Hitam terdapat juga durian kampung dari Jerantut dan Segamat, Johor,” katanya yang yang berniaga buah di pasar tani dan malam di daerah ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top