Isu berkaitan rumah ibadat bukan Islam sering menjadi perhatian masyarakat, khususnya apabila melibatkan pembinaan, pengubahsuaian atau status pemilikan tanah.
Namun, tidak ramai yang benar-benar memahami bagaimana mekanisme pengurusan hal ehwal agama selain Islam sebenarnya berfungsi di Malaysia.
Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang, urusan agama dan tanah adalah bidang kuasa Kerajaan Negeri, seperti yang termaktub di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (Senarai Negeri).
Foto arkib: Bernama
Justeru, setiap negeri mempunyai struktur dan pendekatan tersendiri dalam menguruskan hal ehwal rumah ibadat bukan Islam.
Berikut ialah gambaran menyeluruh bagaimana ia dilaksanakan di peringkat negeri.
Bidang Kuasa Negeri Jadi Teras Pengurusan
Secara asasnya, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dalam aspek pentadbiran agama, urusan tanah dan hak milik dan endaftaran serta pengambilan tanah.
Oleh itu, sebarang perkara melibatkan penggunaan tanah dan pengurusan rumah ibadat perlu ditangani selaras dengan undang-undang negeri serta melalui pendekatan rundingan dan keharmonian sosial.
Struktur Pengurusan Mengikut Negeri
Melaka
Pengurusan dikendalikan oleh Jawatankuasa Khas Rumah Penyembahan Selain Islam Negeri Melaka, yang menyelaras permohonan pembinaan, ubah suai dan pemutihan rumah ibadat bukan Islam.
Kedah
Melalui Jawatankuasa Khas Tempat Keagamaan dan Tanah Perkuburan Bukan Islam, kerajaan negeri memantau serta menyelaras rumah ibadat dan tanah perkuburan bukan Islam.
Sabah
Urusan pembaikan rumah ibadat bukan Islam diselaras oleh Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Kelantan
Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) bertanggungjawab mengurus hal ehwal masyarakat bukan Islam dan hubungan antara kaum.
Wilayah Persekutuan
Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Rumah Ibadat Bukan Islam (MJE RIBI), antara fokus utama ialah mencari penyelesaian rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan, memperakukan permohonan tanah baharu atau penggantian tapak dan memperakukan kelulusan pelan bangunan.
Negeri Sembilan
Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam bertanggungjawab merancang, menyelaras serta melaksanakan dasar berkaitan rumah ibadat bukan Islam, selain melapor kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Selangor
Isu berkaitan rumah ibadat bukan Islam ditangani oleh Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS), termasuk permohonan tanah baharu dan penggantian tapak bangunan.

Perlis
Jawatankuasa Induk Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Perlis menyemak permohonan bina baharu, naik taraf dan ubah suai sebelum dibawa ke peringkat pertimbangan lanjut.
Pulau Pinang
Permohonan berkaitan rumah ibadat bukan Islam diselaras oleh Jawatankuasa Penyelaras Rumah Ibadat Bukan Islam, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
Johor
Melalui Jawatankuasa Kecil Bangunan Keagamaan Bukan Islam, aspek keselamatan dan teknikal pembinaan rumah ibadat diberi perhatian khusus.

Terengganu
Peranan kerajaan negeri lebih tertumpu kepada pengoperasian premis, dan tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan hal ehwal agama bukan Islam.
Perak
Urusan ini dikendalikan oleh Unit Hal Ehwal Bukan Islam Perak, di bawah portfolio Menteri Besar, merangkumi hal ehwal masyarakat dan rumah ibadat bukan Islam.
Pahang
Mesyuarat Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Pahang menyelaras permohonan pembinaan, ubah suai dan pemutihan rumah ibadat.
Sarawak
Sarawak mempunyai pendekatan tersendiri melalui Unit for Other Religions (UNIFOR) yang memantau rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri.

Secara keseluruhannya, tiada satu pendekatan tunggal digunakan di seluruh negara. Setiap negeri mempunyai mekanisme, jawatankuasa dan garis panduan tersendiri berdasarkan konteks tempatan, undang-undang negeri serta keperluan keharmonian masyarakat.
Apa yang penting, semua proses ini berlandaskan prinsip rundingan, ketelusan dan keharmonian antara kaum, selari dengan semangat Malaysia MADANI.
Sumber: Facebook Aaron Ago Dagang




