Drama bersiri Doa Yang Terlindung mencipta fenomena luar biasa apabila terus mendominasi slot Akasia TV3 dengan angka tontonan yang mengagumkan.
Di pertengahan siaran, naskhah ini mencatat lebih empat juta penonton bagi setiap episod, sekali gus meletakkannya antara drama paling berpengaruh ketika ini.
Bukan itu sahaja, gelombangnya turut merebak ke platform digital apabila mencipta 600 juta capaian keseluruhan di media sosial menerusi klip babak tular, reaksi emosi penonton dan perbualan hangat setiap minggu.
Sejak episod awal, drama ini konsisten trending dan menjadi topik perbualan, terutama apabila konflik semakin memuncak dan jalan cerita semakin mendebarkan.
Strategi siaran digital turut menjadi antara faktor kejayaan apabila episod baharu boleh ditonton secara eksklusif di iQIYI hanya satu jam selepas tayangan di TV3.
Langkah itu bukan sahaja memperluas jangkauan penonton, malah memastikan momentum perbincangan terus ‘hidup’ di media sosial.
Kini, menjelang minggu-minggu terakhir, keterujaan semakin terasa apabila penonton mula menanti jawapan kepada segala persoalan yang sekian lama bermain di fikiran.
Malah, minggu akhir diramal mampu mencecah lima juta penonton!
Dengan gabungan jalan cerita yang sarat emosi dan sokongan padu penonton, Doa Yang Terlindung bukan sekadar drama, sebaliknya sudah menjadi fenomena yang menyatukan jutaan penonton setiap malam.
Saksikan minggu terakhir Doa Yang Terlindung setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di slot Akasia TV3.
Episod baharu juga boleh ditonton secara eksklusif di iQIYI, satu jam selepas siaran di TV3.




