Jangan pandang rendah keupayaan universiti awam – Fahmi

Jangan pandang rendah keupayaan universiti awam – Fahmi

Putrajaya: Tindakan pembangkang mempertikaikan pemilihan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melaksanakan kajian syor pelaksanaan pilihan raya pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur disifatkan sebagai satu sikap yang buruk.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pembangkang tidak seharusnya memandang rendah keupayaan universiti awam terbabit yang melahirkan ramai pemimpin tempatan dan luar negara.

“Saya kesal ada pihak yang mempertikai keupayaan UIAM untuk melakukan kajian ini. Bagi saya itu satu sikap yang tidak baik oleh ahli politik ini. Dia sepatutnya melihat UIAM sebagai satu institusi pendidikan yang mampu melakukan kajian dan bagi saya, itu satu sikap yang sangat buruk.

“Sangat tak bertanggungjawab dan dia melihat ke bawah satu institusi yang sangat penting yang melahirkan ramai, bukan hanya pemimpin dalam negara kita, malah pemimpin di negara lain,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan pemilihan UIAM selaku institusi pendidikan yang melaksanakan kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya bagi pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata pihaknya ingin tahu atas dasar apa UIAM dipilih dalam pelaksanaan kajian itu sedangkan terdapat universiti lain yang mempunyai lebih kepakaran bagi tujuan berkenaan.

Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, syor mengenai pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan dan datuk bandar tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Menteri di Jabatan PerdanaMenteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh ada memaklumkan secara lisan mengenai isu terbabit.

“Beliau cuma memaklumkan bahawa ada satu kajian yang sedang dilakukan oleh pihak UIAM dan belum ada apa-apa yang boleh dibentang kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan.

“Jadi ia cuma pemakluman (secara) lisan, bukan melalui nota ataupun memorandum Jemaah Menteri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top