Muara Sungai Merang makin 'parah', pengusaha bot, nelayan rayu tindakan segera

Muara Sungai Merang makin 'parah', pengusaha bot, nelayan rayu tindakan segera

am@hmetro.com.my

Setiu: Pengusaha bot pelancong dan bot nelayan menggesa projek mendalamkan muara Sungai Merang dipercepatkan berikutan ia menimbulkan pelbagai kesulitan terhadap mereka yang menggunakan laluan berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Wakil Nelayan Batu Rakit, Roslan Mohamed, 54, berkata tahun ini masalah muara cetek lebih kritikal berbanding tahun sebelumnya dan menimbulkan rungutan daripada banyak pihak.

“Pengalaman saya sendiri terpaksa tolak bot seawal jam 4 pagi untuk melepasi muara sungai cetek ke laut begitu juga ketika pulang sekitar jam 12 tengah hari atau 1 petang.

“Apabila masuk bulan Ramadan nanti keadaan akan lebih mencabar kerana proses untuk tolak bot itu memerlukan tenaga yang banyak,” katanya ketika ditemui di muara Sungai Merang, di sini, hari ini.

Katanya, mereka juga terpaksa menanggung kerugian sekitar RM 500 sehingga RM 1,000 apabila peralatan bot seperti kipas cepat rosak dan patah kerana melalui kawasan cetek serta ada kayu hanyut dalam air.

Sementara itu, Wakil Persatuan Bot Pelancong Merang Setiu, Azhar Che Razak, 34, berkata, keadaan muara Sungai Merang kini semakin ‘tenat’.

“Ramai pengusaha bot pelancong serta bot nelayan terpaksa mengalami kerugian ribuan ringgit untuk membaiki bot mereka disebabkan berulang-alik melalui kawasan sungai cetek hingga bot perlu ditolak.

“Kali ini kami mohon sangat kerajaan mengambil langkah segera mendalamkan muara sungai walaupun sudah banyak kali masalah ini dibangkitkan,” katanya.

Katanya, penduduk kampung juga pernah mengumpul duit untuk menggali muara namun tindakan itu hanya sementara kerana muara kembali cetek.

“Kami difahamkan peruntukan untuk mendalamkan muara itu sudah ada sepatutnya bulan ini tetapi maklumat diterima ditunda sehingga ke bulan Jun.

“Tempoh masa antara bulan Februari hingga bulan Jun sangat lama kerana bot pelancong sudah mula beroperasi membawa pelancong masuk ke pulau serta bot nelayan juga keluar masuk setiap hari.

“Sebelum ini sudah ada beberapa insiden bot terbalik apabila melalui kawasan itu dan mendatangkan risiko keselamatan terhadap pelancong serta nelayan,” katanya.

Katanya, setakat ini jumlah nelayan yang menggunakan laluan ini sekitar 80 orang dan 70 orang pengusaha bot pelancong.

Sementara itu, Wakil Penduduk Kampung Merang, Mohd Razali Ngah, 50, berkata, sebelum ini pihak kerajaan sudah beberapa kali berjanji untuk menyelesaikan isu berkenaan namun projek pemulihan muara sungai dialihkan ke Kampung Mangkuk.

“Kami berharap kerajaan negeri dapat mengambil langkah sementara untuk membuat laluan sementara sebelum projek skala besar dari Kerajaan Pusat dapat dilaksanakan di sini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top