BATC: Skuad lelaki turut pulang awal

BATC: Skuad lelaki turut pulang awal

PETALING JAYA: Malaysia tiada wakil di separuh akhir, selepas skuad lelaki turut mengikut jejak langkah pasukan wanita tersingkir di suku akhir apabila tumbang kepada Jepun 0-3 pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Qingdao, China, hari ini.

Mempertaruhkan barisan kedua yang dibarisi rata-rata pemain muda, pasukan lelaki turut gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi mereka pada edisi dua tahun lalu.

Pemain ke-39 dunia, Justin Hoh berusaha menjelmakan tentangan sengit ke atas pemain No. 19 dunia, Yushi Tanaka, namun, dia tewas 17-21, 22-20, 11-21 dalam masa 1 jam 6 minit.

Ketinggalan 0-1, beregu ke-18 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King turut gagal menghadiahkan mata buat Malaysia apabila mereka kecundang di tangan gandingan No. 9 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 14-21, 12-21 dalam masa 35 minit.

Jepun melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas skuad skuad negara apabila perseorangan kedua, Muhammad Aidil Sholeh Ali Sadikin tumpas kepada Koki Watanabe 22-20, 11-21, 3-21 dalam masa 60 minit.

Sejak edisi 2018, Malaysia tidak pernah gagal berada dalam kedudukan pingat dan tersingkir di suku akhir menyaksikan skuad negara mengulangi pencapaian buruk pada penyertaan sulung edisi 2016 di Hyderabad, India.

Walaupun BATC dianggap sebagai kejohanan kurang penting, tetapi, gabungan pemain senior dan muda mungkin mampu meletakkan Malaysia di kedudukan yang lebih baik.

Seperti Jepun, Korea Selatan dan juga negara tetangga, Indonesia, walaupun tidak menurunkan barisan lengkap, tetapi mereka turut menyelitkan beberapa pemain senior yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

Memang benar misi di All England (3-8 Mac) jauh lebih penting, tetapi, apa salahnya jika pemilihan pemain itu tidak sampai meletakkan Malaysia terpaksa pulang awal ke tanah air.

Tidak mara ke final sekalipun, namun, sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke separuh akhir memadai bagi meletakkan Malaysia dalam kedudukan pingat gangsa.

Malaysia bukanlah sebuah negara kerdil dalam sukan badminton, dengan pemilihan pemain yang lebih baik sekurang-kurangnya maruah negara dapat dipelihara. – UTUSAN

Scroll to Top