Radar Pan-gon kini beralih aksi lawan NSFC di Paroi

Radar Pan-gon kini beralih aksi lawan NSFC di Paroi

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebaik membawa Selangor FC ke separuh akhir Kejuaraan Kelab Asean Rabu lalu, tumpuan skuad Red Giants kini untuk memastikan tiket separuh akhir Piala Malaysia pula dalam genggaman.

Bagi memastikan misi itu tercapai, pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon mahu rentak kemenangan diteruskan dalam suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Paroi, Ahad ini disempurnakan dengan jayanya.

Biarpun akui anak buahnya belum mencapai tahap diinginkan, namun bekalan selesa wajib diraih sebelum kedua-dua pasukan sekali lagi bertembung di Kelana Jaya minggu hadapan.

“Ada banyak perkara yang kita perlu lakukan, jadi kita kena kekal sederhana. Kita belum sampai ke tahap kita mahukan. Jadi, kita kena kerja keras dan kekal sederhana bila bermain,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Ketika ini, motivasi Selangor FC nyata ditahap terbaik apabila mengekalkan rekod bersih dalam tujuh aksi dilalui sejak Pan-gon membimbing pasukan awal Januari lalu.

Rekod itu dilakar dalam semua kejohanan termasuk Liga Super, dua aksi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia dan perlawanan dalam kempen ACC.

Terbaharu, skuad kendalian Pan-gon itu melayakkan diri ke separuh akhir ACC selepas mengikat wakil Thailand, BG Pathum United 1-1 di Kelana Jaya untuk menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua sekali gus mara selaku dua pasukan terbaik.

Dengan kejayaan itu, skuad Gergasi Merah Kuning itu dijadual bertemu kelab Vietnam, Nam Dinh di separuh akhir, manakala satu lagi wakil Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim yang muncul naib juara Kumpulan B pula menempah slot berdepan Buriram United.

Untuk rekod, Selangor FC kini hanya memiliki dua peluang untuk menjulang gelaran babitkan Piala Malaysia dan ACC selepas terlepas Piala FA dan Liga Juara-Juara Asia II, serta kedudukan mata yang jauh untuk mencabar Liga Super biarpun masih berbaki lapan aksi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top