ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, meneruskan momentum cemerlang apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam tempoh lima bulan selepas menewaskan petarung Myanmar, Ye Yint Naung, menerusi keputusan sebulat suara pada ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok, hari ini.
Beraksi dalam kategori flyweight, Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo mempamerkan aksi lebih matang dengan kawalan emosi serta agresif tersusun sepanjang pertarungan tiga pusingan.
Pusingan pertama menyaksikan kedua-dua petarung saling menguji kekuatan menerusi pertukaran serangan tanpa kelebihan jelas.
Memasuki pusingan kedua, Johan tampil lebih berdisiplin apabila memilih pukulan dengan cermat, memaksa lawan melakukan kesilapan sebelum membalas dengan serangan balas tepat termasuk kombinasi kanan-kiri yang menguji pertahanan Yint Naung.
Penguasaan atlet berusia 19 tahun itu diteruskan pada pusingan ketiga apabila dia mengawal tempo perlawanan, kekal sabar menunggu ruang sebelum melepaskan kombinasi bertenaga yang memaksa lawan berundur.
Ketiga-tiga juri sepakat menghadiahkan kemenangan kepada Johan sebaik loceng penamat dibunyikan.
“Terima kasih kepada Tuhan atas segalanya. Terima kasih Bangkok, saya rasa bagus dan prestasi saya semakin baik,” kata Johan.
Kemenangan itu mengukuhkan momentum Johan selepas menewaskan petarung Maghribi, Zakaria El Jamari, pada September lalu.
Johan turut memaklumkan dia tidak akan beraksi dalam masa terdekat berikutan ketibaan Ramadan, namun bersedia berdepan mana-mana pencabar selepas itu.
Dalam satu lagi aksi, Adam Rakib turut mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan KO pusingan kedua ke atas petarung Maghribi, Walid Snoussi, sekali gus meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Toma Kuroda dari Jepun pada September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




