Perjuangan pulih integriti tak boleh secara 'silo', elak 'kapal' karam

Perjuangan pulih integriti tak boleh secara 'silo', elak 'kapal' karam

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Perjuangan memulihkan integriti negara tidak boleh digerakkan secara berasingan atau secara ‘silo’, sebaliknya memerlukan kesedaran bahawa semua pihak berada di dalam kapal yang sama.

Pakar Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) merangkap Ahli Panel Penilaian Operasi SPRM, Datuk Dr Mazlan Ahmad berkata, ia boleh diibaratkan sebuah pelayaran untuk mencapai nombor keramat 2533 iaitu mencapai kedudukan CPI ke-25 menjelang 2033.

“Kita berlayar di lautan yang luas, ombak yang mengganas. Bila-bila masa kapal kita karam.

“Jadi apa yang berlaku… Mereka yang duduk di dek bawah nak minum air.

“(Namun) disebabkan kejahilan dia, dia tak nak susah orang dek di atas, dia cuma gerudi perut bot dan dia kata ‘aku gerudi akan dapat air, aku tak menyusahkan orang atas’.

“Tetapi kalau orang atas, dia kata aku jaga ‘department’ (jabatan) aku, tak nak ganggu, tak nak cari tepi kain, jadi apa yang berlaku kapal itu akan karam,” katanya dalam Podcast Kolar Hitam: Bukan Sekadar Operasi, hari ini.

Disebabkan itu katanya, orang ramai tidak lagi boleh bekerja dengan mentaliti ‘silo’, sebaliknya kena kerja secara berpasukan.

“Tidak boleh jabatan itu buat sendiri, umpama kapal tadi, dia duduk atas dek tak nak ambil tahu apa yang berlaku di bawah, tidak mahu tegur akhirnya karamlah kapal itu.

“Sebab itu hari ini, kita kena sentiasa ingat-mengingati,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top