nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Gombak: Kerajaan bercadang untuk memperluaskan pendidikan al-Quran dan tahfiz dalam dalam kalangan murid, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam satu mesyuarat bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, minggu lalu.
Katanya, cadangan itu wajar dilaksanakan berikutan permintaan yang memberangsangkan membabitkan kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun yang mendapatkan pendidikan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan supaya pembelajaran pra-tahfiz di tadika KEMAS dapat dilanjutkan apabila murid memasuki sekolah rendah.
“Kita sedang mengatur supaya penghafazan al-Quran dapat diteruskan dari Tahun Satu hingga Tahun Enam melalui kurikulum yang akan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan.
“Jadi tadika dan tabika KEMAS ini akan berperanan sebagai feeder school kepada Kementerian Pendidikan (KPM), iaitu menjadi institusi persediaan awal sebelum murid menyambung pembelajaran di sekolah kebangsaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Huffaz Al-Quran Al Karim di Maahad Tahfiz Al Mashrafe, di sini hari ini.
Zahid berkata, selain penekanan terhadap penguasaan penguasaan 3M di sekolah rendah, pihaknya turut meminta supaya kemudahan pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan, termasuk penyediaan peralatan digital seperti TV pintar di Tadika dan Tabika KEMAS.
Beliau turut mencadangkan supaya murid beragama Islam diberi peluang mengikuti kelas tambahan penghafazan al-Quran dari Tahun Satu hingga Tahun Enam sebagai kesinambungan pendidikan pra-tahfiz di peringkat prasekolah.
Ketika ditanya sama ada cadangan ini akan membabitkan penambahan guru agama, Zahid berkata di tabika atau tadika KEMAS, ia tidak membabitkan sebarang tambahan kerana silibus itu itu sudah dilaksanakan.
Bagaimanapun, Zahid berkata di peringkat sekolah rendah, sama ada terdapat penambahan guru agama atau tidak, ia di bawah pertimbangan Menteri Pendidikan.
Dalam pada itu, Zahid menegaskan, usaha memperluas pendidikan tahfiz itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya sebagai tanggungjawab dan ikhtiar memperkukuh pendidikan Islam dalam kalangan generasi muda.
“Diharapkan usaha pembangunan institusi tahfiz ini dapat diperkasakan dan usaha itu mendapat sokongan semua pihak termasuk ulama dan pendidik, demi melahirkan generasi celik al-Quran pada masa depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




