georgie@hmetro.com.my
Petaling Jaya : Penyanyi dan pelakon, Dafi Ismail Sabri pernah berdepan titik terendah dalam hidup kerana terlalu merasa rendah diri tidak memberi sumbangan kepada sesiapa sehingga mengalami gangguan emosi.
Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 37, berkata perasaan terbabit jelas terasa berat apabila dirinya seakan tiada hala tuju hidup yang nyata namun tidaklah sampai fikir bukan-bukan.
“Ya, memang ada fasa begitu. Bila saya tengok ayah sendiri, adik-beradik lain yang berjaya dalam apa yang mereka buat, saya rasa saya tidak sampai ke tahap mereka.
“Masa itu saya lupa untuk bersyukur dengan apa yang saya ada dan hanya fikir apa yang saya tak ada. Tapi titik terendah saya tidaklah sampai hendak bunuh diri.
“Tapi saya mempersoalkan apa gunanya saya ada di dunia ini. Macam saya tak menyumbang apa-apa kepada sesiapa,” katanya ditemui pada pementasan Projek Tentang Rasa yang diadakan di Damansara Performing Art Centre (DPAC), semalam.
Selain Dafi, pementasan Projek Tentang Rasa arahan Syawal Azrai Mokhtar itu turut menampilkan Adriana Adnan, Syazwan Razak, Zaid Erakad, Maryam Tarmizi, Amir Mirza dan Syawal Azrai. Pementasan berlangsung hari ini hingga Ahad.
Dafi mengakui dirinya menjadi beban kepada keluarga, tertanya apa sumbangannya dalam industri seni dan terlalu memikirkan penerimaan orang sama ada menyukainya atau tidak.
Disebabkan tekanan pemikiran sebegitu, dia juga pernah terfikir untuk mendapatkan rawatan psikiatri. Bagaimanapun, masalah terbabit dapat diatasi dengan sokongan padu daripada keluarga dan orang sekeliling.
“Saya melihat berjumpa psikiatri sebagai sesuatu yang sangat positif. Tapi saya tidak berkesempatan nak pergi jumpa sebab saya rasa saya dah cukup bagus ada sistem sokongan (support system) yang kuat.
“Tapi kalau benda ini berterusan, tak mustahil saya akan pergi jumpa,” jelas penyanyi lagu Bila Terasa Rindu itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




