Dalam era media sosial yang bergerak pantas tanpa sempadan, al-Quran kini sering dipetik, ditafsir dan disebarkan oleh sesiapa sahaja – tanpa ilmu, tanpa disiplin dan tanpa rasa tanggungjawab. Petikan ayat suci dijadikan hujah peribadi, kapsyen media sosial, bahkan senjata untuk menyerang pihak lain. Fenomena ini semakin meruncing apabila tafsiran dibuat berdasarkan logik sendiri, emosi semasa atau agenda tertentu, tanpa merujuk kepada pandangan ulama muktabar. Hakikatnya, al-Quran bukan bahan eksperimen pemikiran bebas, tetapi wahyu Ilahi yang mempunyai disiplin ilmu yang ketat dalam memahami dan mentafsirkannya.
Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai petunjuk hidup yang menyeluruh, bukan sekadar dibaca secara ritual atau dijadikan hiasan lafaz tanpa penghayatan. Firman-Nya: “Kitab (al-Quran) ini tidak ada sebarang keraguan padanya; petunjuk bagi orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 2) Namun, petunjuk Ilahi ini hanya akan benar-benar berfungsi apabila al-Quran difahami dan diamalkan dengan kaedah yang betul. Tanpa kefahaman yang sahih, al-Quran berisiko disalah tafsir, dipetik secara terpisah daripada konteksnya, lalu digunakan untuk menyokong pandangan atau kepentingan tertentu.
Al-Quran bukanlah teks biasa yang boleh ditafsirkan secara bebas mengikut kehendak akal atau rasa peribadi. Ia diturunkan dalam bahasa Arab yang kaya dengan gaya bahasa, majaz, qarinah serta susunan ayat yang sangat halus. Justeru, memahami al-Quran menuntut penguasaan ilmu asas seperti bahasa Arab, nahu, balaghah, serta ilmu usul tafsir. Allah SWT menegaskan: “Sesungguhnya Kami menurunkannya sebagai al-Quran berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.” (Surah Yusuf: 2) Ayat ini menunjukkan kefahaman terhadap al-Quran tidak terpisah daripada disiplin bahasa yang betul.
Selain itu, konteks penurunan ayat (asbab al-nuzul) memainkan peranan penting dalam memahami maksud sebenar sesuatu nas. Banyak ayat al-Quran diturunkan bagi menjawab situasi tertentu, membetulkan kefahaman masyarakat atau menangani peristiwa khusus. Tanpa memahami latar belakang ini, seseorang boleh tersalah faham maksud ayat dan mengeluarkan hukum yang bercanggah dengan tujuan asal syariah. Para sahabat RA sangat berhati-hati dalam memahami ayat al-Quran dan merujuk kepada Rasulullah SAW bagi mendapatkan penjelasan langsung tentang maksud ayat yang diturunkan.
Lebih daripada itu, al-Quran perlu difahami secara menyeluruh dengan merujuk kepada ayat lain yang berkaitan. Prinsip al-Quran yufassiru ba’duhu ba’dan (al-Quran saling mentafsirkan antara satu sama lain) adalah kaedah penting dalam ilmu tafsir. Mengambil satu ayat dan mengabaikan ayat lain yang menjelaskan, mengehadkan atau memperincikannya boleh membawa kepada kefahaman yang pincang. Allah SWT mengingatkan: “Apakah mereka tidak mentadabburi al-Quran? Sekiranya ia datang bukan daripada Allah, nescaya mereka akan dapati padanya banyak percanggahan.” (Surah an-Nisa’: 82) Tadabbur yang dimaksudkan bukan sekadar membaca terjemahan, tetapi memahami keseluruhan mesej wahyu secara bersepadu.
Dalam hal ini, peranan Rasulullah SAW sebagai penjelas al-Quran tidak boleh dipisahkan. Allah SWT berfirman: “Dan Kami turunkan kepadamu al-Zikr (al-Quran) agar engkau menjelaskan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka.” (Surah an-Nahl: 44) Sunnah Nabi SAW berfungsi sebagai tafsiran praktikal terhadap al-Quran, sama ada melalui ucapan, perbuatan atau pengakuan Baginda. Oleh sebab itu, memahami al-Quran tanpa merujuk kepada hadis sahih akan menghasilkan kefahaman yang tidak lengkap, bahkan boleh menyeleweng.
Di sinilah pentingnya merujuk kepada para ulama tafsir yang muktabar sepanjang generasi. Mereka bukan sahaja menguasai ilmu bahasa dan nas, tetapi juga memahami maqasid syariah, realiti masyarakat serta kesepaduan antara akidah, syariah dan akhlak. Imam Ibn Sirin pernah mengingatkan: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.” Nasihat ini sangat relevan dalam era maklumat tanpa sempadan hari ini.
Justeru, al-Quran adalah petunjuk hidup yang agung, namun petunjuk itu hanya akan membawa kepada kebenaran apabila difahami melalui jalan yang betul – dengan tadabbur yang berdisiplin, berpandukan sunnah Rasulullah SAW serta bimbingan para ulama yang berautoriti. Inilah benteng yang melindungi umat Islam daripada salah tafsir dan penyimpangan, sekali gus memastikan al-Quran terus jadi cahaya yang membimbing kehidupan, bukan alat yang diperalat mengikut hawa nafsu.
Isu tafsiran al-Quran tanpa tapisan semakin ketara mutakhir ini apabila ada pihak yang memetik satu ayat, lalu membina kesimpulan besar yang bercanggah dengan keseluruhan ajaran Islam. Ada yang menggunakan ayat rahmat untuk menolak hukum dan ada pula yang menggunakan ayat azab untuk menghalalkan sikap keras tanpa hikmah. Keadaan ini bukan sahaja mengelirukan masyarakat awam, malah berpotensi merosakkan kefahaman akidah dan syariah. Rasulullah SAW memberi amaran keras tentang bahaya bercakap mengenai al-Quran tanpa ilmu. Baginda bersabda: “Sesiapa yang berkata tentang al-Quran dengan pendapatnya sendiri, maka bersedialah tempatnya di neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi – hasan)
Tafsiran al-Quran bukan kerja mudah. Ia memerlukan penguasaan pelbagai disiplin ilmu seperti bahasa Arab, ilmu qira’at, usul tafsir, ilmu hadis, al-nasikh dan al-mansukh serta kefahaman terhadap maqasid syariah. Justeru, ulama tafsir sepanjang sejarah Islam seperti al-Tabari, Ibn Kathir, al-Qurtubi dan al-Razi tidak menafsirkan al-Quran dengan akal semata-mata, tetapi berpandukan al-Quran dengan al-Quran, al-Quran dengan hadis, pandangan para sahabat, serta kaedah ilmu yang tersusun. Inilah tradisi keilmuan yang menjaga kesucian makna wahyu.
Allah SWT sendiri menegaskan prinsip rujukan kepada ahli ilmu dalam memahami agama. Firman-Nya: “Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl: 43) Ayat ini menjadi asas penting dalam urusan agama, termasuk tafsir al-Quran, umat Islam tidak boleh bergantung kepada sangkaan sendiri. Budaya “aku rasa ayat ini bermaksud…” tanpa sandaran ilmiah bukan tanda kecerdikan, tetapi cerminan kejahilan yang berbahaya.
Tadabbur al-Quran sering disalahfahami sebagai kebebasan mentafsir sesuka hati. Hakikatnya, tadabbur ialah proses menghayati dan mengambil pengajaran daripada makna ayat yang dijelaskan oleh para ulama, bukan mencipta makna baharu yang bercanggah dengan tafsir muktabar. Tadabbur melibatkan hati yang tunduk, bukan akal yang angkuh. Allah SWT berfirman: “Maka tidakkah mereka mentadabbur al-Quran, ataukah hati mereka telah terkunci?” (Surah Muhammad: 24) Ayat ini mengajak manusia merenung, bukan melanggar disiplin ilmu.
Apabila rujukan dikembalikan kepada tafsiran ulama muktabar, umat akan lebih seimbang dalam memahami agama: tegas dalam prinsip, lembut dalam pendekatan dan matang dalam berbeza pandangan. Inilah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, sebagaimana sabda baginda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selagi berpegang kepada keduanya: Kitab Allah dan Sunnahku.” (Hadis riwayat Malik – hadis hasan)
Oleh itu, para ulama berperanan sebagai pewaris para nabi, bukan kerana mereka maksum, tetapi kerana mereka menjaga amanah ilmu. Daripada Abu Darda’ RA Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya (ilmu itu), dia telah mengambil bahagian yang sangat besar.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi – hadis sahih) Maka, meremehkan pandangan ulama dalam tafsir al-Quran sama seperti memutuskan hubungan umat dengan warisan ilmu yang diwariskan sejak zaman Rasulullah SAW.
Penulis Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




