Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian sedang meneliti langkah untuk membawa masuk ikan rakyat Sabah seperti kembung, sembilang, selar dan pelata ke Semenanjung bagi memastikan rakyat dapat menikmatinya pada harga lebih rendah.
“Berdasarkan tinjauan tadi, saya melihat harga ikan seperti sembilang agak tinggi dan beberapa kali ganda jika dibandingkan dengan Sabah.
“Kita akan mencari jalan supaya ia lebih murah namun akan mengambil masa kerana perlu siapkan fasiliti termasuk berbincang dengan syarikat penerbangan bagi kerja (logistik),” katanya.
KPKM pertimbang bawa masuk ikan dari Sabah
Jelas beliau, pihak kementerian sedang meneliti langkah terbaik bagi membawa masuk ikan yang dijual pada harga lebih rendah di Sandakan dan Tawau.
Perbincangan secara intensif juga dijalankan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKM) bagi merealisasikan hasrat itu.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ikan sembilang misalnya agak kurang digemari di Sabah biarpun dijual pada harga rendah RM3 sekilogram, manakala di Semenanjung harganya boleh mencecah sekitar RM12 sekilogram.

Artikel lain: Harga jimat, bekalan segar! Karnival Jualan Agro MADANI @ Pasar Tani Kekal Putrajaya kembali
Beliau berkata demikian pada program Semarak Ramadan MADANI 1447H Peringkat Kebangsaan dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bertempat di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.
Program yang berlangsung dari 7 hingga 18 Februari 2026 ini disempurnakan oleh Mohamad Sabu sebagai simbolik pelancaran inisiatif jualan Ramadan di seluruh negara.
Menurut KPKM, penganjuran program itu bertujuan menyemarakkan kedatangan bulan Ramadan serta membantu rakyat membuat persediaan awal mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan melalui konsep jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna.

Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai tawaran istimewa termasuk Jualan Kombo Agro MADANI, jualan happy serta edaran kurma sebagai simbolik perkongsian rezeki bersempena bulan Ramadan.
Program ini juga menjadi platform memperkasa pendapatan petani, penternak, nelayan dan usahawan agromakanan tempatan melalui peningkatan peluang jualan serta akses pasaran secara langsung.
Pasar Tani Taman Sri Andalas, yang beroperasi setiap hari Sabtu dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, melibatkan 59 usahawan dengan 76 lot jualan. Ditubuhkan sejak Ogos 1998, pasar tani ini mencatatkan nilai jualan tahunan sebanyak RM2,367,410.40 bagi tahun 2025.

Program Semarak Ramadan MADANI 1447H menyasarkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM50 juta melibatkan 680 lokasi di seluruh negara.
Pelaksanaan program ini selaras dengan Hala Tuju KPKM 2026 yang menumpukan kepada pengukuhan keterjaminan makanan negara, pemodenan rantaian bekalan, pendigitalan pemasaran agro serta peningkatan pendapatan pengeluar tempatan.
KPKM menerusi FAMA akan terus memperluas pelaksanaan program intervensi pasaran seperti ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara di samping memperkukuh sekuriti makanan negara secara menyeluruh.






