am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan sembilan kes dengan tiga kluster Tuberkulosis atau tibi setakat ini.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, ia membabitkan dua kluster di Kota Bharu iaitu Guchil Bayam (dua kes) dan Kampung Padang Salim (tiga) manakala satu kluster di Melawi, Bachok (empat).
“Sembilan kes ini dikesan penghujung tahun lalu dan kita sudah ambil langkah pencegahan malah semua pesakit sudah menerima rawatan.
“Puncanya adalah daripada komuniti tempatan itu sendiri dan JKNK akan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta pencegahan terutama di premis seperti sekolah bagi mengelakkan merebak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dr Mohd Azman berkata, untuk rekod, sebanyak 16 kes tibi dicatatkan tahun lalu membabitkan 45 pesakit.
Beliau menasihatkan sesiapa yang mengalami batuk berpanjangan dan tiada selera makan seterusnya menyebabkan susut badan, segeralah tampil untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya lagi, pencegahan awal perlu dibuat bagi memastikan wabak itu tidak merebak dan ia menjadi serius jika dijangkiti oleh individu yang mempunyai sakit kronik.
“Sebagai langkah pencegahan, kalau dalam keluarga ada yang dijangkiti tibi, dia perlu segera dirawat dan ahli keluarga lain hendaklah dibuat saringan.
“Jika ada simptom contohnya batuk berpanjangan sehingga ke dua minggu, ada kahak atau tidak dan tiada selera makan, segeralah berjumpa doktor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




