KDEBWM tingkat keselamatan, kecekapan operasi kenderaan perkhidmatan sisa pepejal

KDEBWM tingkat keselamatan, kecekapan operasi kenderaan perkhidmatan sisa pepejal
KDEBWM tingkat keselamatan, kecekapan operasi kenderaan perkhidmatan sisa pepejal

Mahmood (kiri) dan Ramli (kiri) meninjau pemeriksaan yang dilakukan PUSPAKOM pada kenderaan operasi KDEBWM di Shah Alam. Foto Sinar Harian – ROSLI TALIB

KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalinkan kerjasama strategik bersama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi melaksanakan pemeriksaan secara mobile (bergerak) melibatkan lebih 1,200 kenderaan operasi syarikat itu bermula 14 Februari ini.

Inisiatif berkenaan membabitkan pemeriksaan lori kompaktor serta armroll atau Roll-On Roll-Off (RORO) bagi menangani isu tunggakan tempahan pemeriksaan berkala, tanpa menjejaskan kelangsungan operasi harian perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Selangor.

Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, pelaksanaan pemeriksaan secara mobile itu membolehkan setiap kenderaan operasi berada pada tahap keselamatan yang optimum ketika di jalan raya.

Menurut beliau, aspek keselamatan kenderaan dan pematuhan perundangan di bawah PUSPAKOM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa menjadi keutamaan pengurusan tertinggi KDEBWM.

“Setiap enam bulan pihak kami akan menghadapi laluan pemeriksaan sedangkan kenderaan syarikat perlu bergerak setiap hari untuk mengutip sampah yang dihasilkan lebih tujuh juta penduduk negeri ini.

“Melalui perkhidmatan bergerak ini, kecekapan operasi syarikat dapat dipertingkatkan dengan pengurangan masa menunggu, meminimumkan gangguan perkhidmatan dan lebih penting proses ini dilaksanakan tanpa melalui orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelaksanaan Pemeriksaan PUSPAKOM Mobile Lori Milik KDEBWM di PUSPAKOM Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam pada Sabtu.

Ramli (empart dari kiri) bersama Mahmood (tiga dari kiri) mendengar taklimat pemeriksaan lori kompaktor pada majlis Pelaksanaan Pemeriksaan PUSPAKOM Mobile Lori Milik KDEB Waste Management di PUSPAKOM Alam Megah, Shah Alam pada Sabtu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Ramli (empart dari kiri) bersama Mahmood (tiga dari kiri) mendengar taklimat pemeriksaan lori kompaktor pada majlis Pelaksanaan Pemeriksaan PUSPAKOM Mobile Lori Milik KDEB Waste Management di PUSPAKOM Alam Megah, Shah Alam pada Sabtu. Foto Sinar Harian – ROSLI TALIB

Tambah Ramli, kerjasama itu juga menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan standard operasi serta membudayakan pematuhan dan keselamatan dalam kalangan warga kerja dan subkontraktor KDEBWM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, pemeriksaan secara mobile antara pendekatan yang ditawarkan agensinya bagi membantu organisasi mengurus armada kenderaan dengan lebih terancang, cekap dan berkesan.

“Kami menghargai inisiatif proaktif yang diambil pihak KDEBWM dan langkah itu mencerminkan komitmen tinggi syarikat terhadap keselamatan pekerja, pengguna awam serta kesinambungan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Justeru, diharapkan lebih banyak organisasi dan perniagaan dapat mengambil pendekatan sama dalam merancang pematuhan perundangan dan keselamatan kenderaan secara lebih teratur,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • KDEB Waste Management menjalin kerjasama dengan PUSPAKOM untuk pemeriksaan mobile kenderaan operasi
  • Inisiatif ini melibatkan lebih dari 1,200 kenderaan untuk mengatasi isu tunggakan pemeriksaan
  • Pelaksanaan pemeriksaan mobile memastikan keselamatan kenderaan di jalan raya
  • Perkhidmatan bergerak ini meningkatkan kecekapan operasi dengan mengurangkan masa menunggu dan gangguan perkhidmatan
  • Kerjasama ini meningkatkan tadbir urus dan standard operasi serta memperkukuhkan pematuhan dan keselamatan
Scroll to Top