am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil langkah sewajarnya berpandukan saranan, panduan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung penularan penyakit tuberkulosis atau tibi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata setakat ini beliau difahamkan keadaan masih terkawal dan isu itu kini dalam pemantauan ketat KKM.
“Setakat ini, kita berpandukan kepada saranan, panduan dan nasihat daripada KKM maka, saya berpegang kepada proses itu dan setakat ini, kami (KKM) dimaklumkan ia terkawal di bawah pemantauan ketat oleh KKM.
“Jadi, kami akan ikut semua arahan yang diberikan oleh KKM,” katanya ringkas ketika ditanya samaada KPM akan mengesyorkan saringan kesihatan dibuat di semua sekolah bagi mengelak penularan penyakit berjangkit itu.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Perasmian Festival Nibong Tebal yang disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Media kelmarin melaporkan enam murid di daerah Kota Tinggi, Johor membabitkan empat murid lelaki dan dua murid perempuan disahkan menghidap tibi hasil daripada saringan kontak rapat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




