Carrick ubah nasib Man United – Fernandes

Carrick ubah nasib Man United – Fernandes

Manchester: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes memuji impak besar yang dibawa Michael Carrick dalam mengubah suasana di Old Trafford selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut sejak mengendalikan kelab itu.

Fernandes turut mencetak gol ketika Red Devils menewaskan Tottenham Hotspur yang beraksi dengan 10 pemain 2-0, hari ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Carrick masih belum tewas dalam tujuh perlawanan sepanjang dua tempoh beliau menggalas tugas selaku pengurus sementara United.

Bekas pemain tengah itu sebelum ini menegaskan bahawa pihak pengurusan United tidak boleh tergesa-gesa membuat keputusan mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai pengurus tetap kelab.

Namun, keputusan dan prestasi pasukan sejak pemergian Ruben Amorim bulan lalu semakin menguatkan hujah agar bekas pengurus Middlesbrough itu diberikan kontrak sehingga melepasi musim ini.

“Carrick datang dengan idea yang tepat, memberi pemain tanggungjawab dan kebebasan di atas padang.

“Saya memang yakin dia akan menjadi pengurus yang hebat dan dia sedang membuktikannya. Kami harap dapat terus membantunya dengan lebih baik.

“Semua orang faham tekanan bermain untuk kelab ini dan semua tahu jangkaan yang mengiringinya. Dia tahu apa maknanya untuk kelab ini menang. Ia memberi sesuatu yang istimewa kepada pasukan,” kata Fernandes kepada TNT Sports.

Kemenangan itu menyaksikan United kini hanya ketinggalan dua mata di belakang Aston Villa yang berada di tempat ketiga, selain membuka jurang selesa dengan pasukan-pasukan pencabar bagi slot Liga Juara-Juara musim depan.

Kedudukan dalam lima teratas liga dijangka sudah memadai untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan susulan prestasi cemerlang kelab-kelab England dalam saingan Eropah musim ini.

United kini mendahului lima mata di hadapan Liverpool yang berada di tempat keenam, dengan The Reds bakal melayan Manchester City yang memburu kejuaraan awal pagi Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top