Terkejut balik tengok rumah hangus, hasrat jamu makan tergendala

Terkejut balik tengok rumah hangus, hasrat jamu makan tergendala

am@hmetro.com.my

Setiu: Hasrat suami isteri mahu membuat persiapan jamuan makan tergendala apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Semah Yusoff, 60, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Setiu dari Besut bersama suami selepas selesai membeli barang untuk mengadakan jamuan makan.

Katanya, mengikut perancangan awal mereka mahu mengadakan jamuan makan di surau berhampiran selepas ceramah agama pada Isnin nanti dan rumahnya dijadikan sebagai tempat persiapan makanan.

“Saya dapat panggilan telefon daripada anak pagi tadi dan terkejut apabila tiba di rumah melihat hampir keseluruhan rumah sudah hangus terbakar.

“Tiga motosikal milik anak juga tidak sempat diselamatkan hanya kereta sahaja sempat dialihkan anak yang kebetulan ada di rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Buruk, di sini, hari ini.

Anaknya, Noor Hidayah Jaafar, 28, berkata, ketika kejadian dia berada di beranda rumah bersama dua anak berumur 11 bulan dan dua tahun.

“Abang saya tidur dalam bilik sementara suami pula keluar ke bengkel berhampiran untuk membaiki motosikal.

“Anak jiran menjerit memberitahu ternampak asap dan api dari arah bilik di tengah rumah sebelum saya segera mendukung anak dibantu kakak ipar ke rumah berhampiran.

“Saya cuba untuk masuk semula ke dalam rumah tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak,” katanya.

Katanya, nasib baik abangnya yang tidur dalam bilik tersedar sebelum bergegas keluar mengalihkan kereta ke tempat selamat.

“Kami tinggal sembilan orang dalam rumah ini termasuk ibu bapa tetapi pada masa kejadian ada yang keluar bekerja serta mempunyai urusan lain,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohmmad Sapawi berkata, panggilan diterima jam 10.55 pagi dan sembilan anggota termasuk seorang pegawai dari BBP Setiu dibantu BBP Jertih ke tempat kejadian.

“Kami menghadapi masalah tekanan air rendah dari pili bomba berhampiran. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top