Bukan trend, demi kesihatan

Bukan trend, demi kesihatan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seawal umur 12 tahun, wanita ini sudah ada keberanian mengambil ubat kurus sebagai alternatif untuk menurunkan berat badan.

Bermula dengan teh kampung, Rina Astati, 38, kemudiannya cuba mengambil pelbagai jenis produk pelangsingan kerana berdepan masalah berat badan serius pada usia muda.

Pernah satu ketika, Rina Astati berhenti mengambil ubat kurus namun lain jadinya apabila selera makannya bertambah hingga akhirnya nekad menjalani rawatan bariatrik pada 22 Ogos lalu bagi menurunkan berat badan.

Menurut Rina Astati, dia menjalani rawatan berkenaan bukan kerana terpengaruh dengan sesiapa namun selepas mengambil kira kesannya terhadap kesihatan untuk jangka masa panjang.

“Dulu, saya memang kuat makan dan ubat kurus sebab nampak itu cara mudah serta cepat untuk turunkan berat badan.

“Tengok cermin pun tak selesa waktu itu dan selepas bertahun makan ubat kurus serta cuba ambil bermacam produk, saya nekad menjalani bariatrik.

“Doktor yang cadangkan dan saya buat kerana sebelum ini, solat pun kena duduk atas kerusi…tapi selepas buat (bariatrik),dapat berat badan ideal dan boleh solat macam biasa,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Rina Astati mengakui sedar dengan risiko dan kesan daripada prosedur berkenaan.

Bagaimanapun, dia hanya berikhtiar dan mengikut nasihat doktor kemudian menyerahkan selebihnya kepada Allah SWT.

“Sejak awal lagi, saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku termasuk kematian.

“Tapi doktor beritahu, peratusan risiko kematian rendah dan dalam 1,000, mungkin seorang yang mengalami komplikasi hingga meragut nyawa.

“Jadi saya ikhtiar kemudian serahkan kepada Allah SWT serta ikut kata doktor.

“Cuma awalnya sangat susah nak cari makanan sesuai dengan kita kerana nasi atau yang dalam bentuk pepejal tak boleh makan. Jadi kena bergantung dengan bubur dan susu…pagi misalnya hanya minum susu dan telur separuh masak serta minum air kelapa,” katanya.

Rina Astati berkata, keluarga menerima keputusannya itu walaupun ada kerisauan dalam diri mereka pada awalnya.

“Saya doa yang baik-baik untuk ke depannya nanti dan diharap dapat kekalkan bentuk badan.

“Saya buat untuk kesihatan, bukan kerana ikut orang atau kononnya trend buat bariatrik…syukur kerana nampak banjak perubahan kerana dulu 81 kilogram (kg) tapi sekarang dalam 61 kg cuma harap mereka di luar sana rujuk pakar dulu untuk dapatkan nasihat bagi mengelak sebarang mudarat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top