redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kota Tinggi: “Kakak nak pergi Kaabah. Kakak nak doa, nak abah sihat macam dulu.”
Itu kata-kata membuatkan Ann Nuur Ain Mohamed Don, 32, tersentak namun tahu ia datang daripada hati luhur anak sulungnya, Wan Omera, 6, yang mengharap suaminya, Wan Ahmad Aminuddin Wan Ismail, 33, kembali sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti dulu.
Sebagai isteri, Ann Nuur Ain juga mengharapkan yang sama kerana rindu melihat keletah juga senyuman suaminya namun belum diizinkan jadi hanya mampu berdoa semoga permintaannya dan anak dimakbulkan Ilahi.
Berkongsi kisahnya, Ann Nuur Ain berkata, suaminya pernah bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat peladang namun terpaksa berhenti sejak terlantar akibat kecederaan otak traumatik teruk kesan kemalangan jalan raya pada 26 September 2024.
Menurut Ann Nuur Ain, insiden itu berlaku selepas motosikal ditunggang suaminya yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dirempuh oleh sebuah kereta di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), dekat sini.
“Kemalangan itu menyebabkan suami koma selama enam bulan akibat pendarahan otak dan banyak tempat.
“Mulanya susah nak terima kerana kejadian berlaku selepas saya baru bersalin dan baru dua minggu berpantang.
“Jadi bertambah sedih apabila doktor beritahu suami akan terlantar seumur hidup, tapi kena cepat pulihkan semangat kerana anak perlukan saya dan kena ikhtiar untuk suami. Kekuatan itu datang bila pandang muka anak selain keluarga juga orang sekeliling termasuk rakan yant membantu,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Ann Nuur Ain berkata, dia hanya mencari rezeki sebagai jurusolek sambilan dan kebanyakan masanya bersama suami juga tiga anak yang berumur setahun empat bulan, empat juga enam tahun.
Buat masa ini, Wan Ahmad Aminuddin masih terlantar jadi Ann Nuur Ain perlu membantu suaminya yang belum boleh berdikari.
“Rutin harian saya bantu suami waktu nak mandi, minum susu dan membuat pergerakan.
“Ada juga bantu urutkan dan kerap juga bersembang dengan suami kerana nak bantu pulihkan ingatannya walaupun dia tak boleh bercakap.
“Waktu paling mencabar bila saya perlu membahagikan masa untuk suami dan anak yang sedang membesar dan inginkan juga perhatian. Tapi setakat ini, suami tak banyak meragam cuma suami juga ada emosi orang sakit yang perlu difahami,” katanya yang kini tinggal bersama keluarga mentua.
Menurut Ann Nuur Ain, suaminya sudah dikategorikan sebagai pesakit paliatif yang tiada rawatan.
Bagaimanapun, Ann Nuur Ain masih mengharapkan keajaiban dan tetap berikhtiar dengan menghantar suaminya ke pusat rehabilitasi di Gelang Patah, Johor, baru-baru ini untuk menjalani terapi bagi menguatkan pergerakan.
“Itu yang dapat saya bantu dan anak masih kecil jadi mulanya mereka tak faham dengan keadaan bapa mereka dan ada masanya bertanya bila abah nak sembuh.
“Tapi saya cuba terangkan dan jujurnya, ujian ini sangat berat cuma lama kelamaan dapat reda kerana yakin hikmahnya lebih besar.
“Saya sedar ini jalan terbaik yang Allah SWT sudah aturkan walaupun dengan (ujian) kesakitan,” katanya.
Berhubung perkongsian di media sosial, Ann Nuur Ain berkata, niat asalnya sekadar berkongsi rutin menjaga suami tercinta untuk dijadikan kenangan.
“Alhamdulillah, ramai mendoakan dan bila kongsi, baru saya sedar ramai yang senasib dengan saya ada juga yang bertanya macam mana cara nak uruskan suami juga ahli keluarga mereka.
“Ada yang lebih teruk dan saya pun ada bagi kata semanga kepada mereka yang jaga pasangan dan ahli keluarga terlantar.
“Bagi saya, ia satu amanah dan harap perkongsian saya beri manfaat cuma ada juga kecaman…mungkin ia datangnya daripada mereka yang tak pernah melaluinya,” katanya yang kini bergantung dengan elaun pesakit terlantar sebanyak RM500 sumbangan Baitulmal dan RM250 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat anaknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




