PEMAIN sayap Manchester City, Antoine Semenyo melaungkan amaran kepada Liverpool bahawa skuad The Citizens sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan pasukan tuan rumah itu di Anfield pada tengah malam Ahad.
Semenyo menegaskan dia dan rakan sepasukan sudah tidak sabar untuk menundukkan The Reds di laman lawan dalam usaha mereka terus mengejar Arsenal dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengendali City, Pep Guardiola mempunyai rekod yang kurang memberangsangkan di Anfield, dengan hanya mencatat satu kemenangan dalam 10 aksi sejak mengambil alih pasukan pada 2016.
Kemenangan tunggal itu pula diraih ketika aksi berlangsung tanpa penonton akibat pandemik Covid-19.
Guardiola menyedari dia tidak boleh lagi mencicirkan mata kali ini memandangkan City sedang berusaha keras memintas Arsenal.
Semenyo mengakui skuad Guardiola kini berada pada tahap motivasi tertinggi untuk menghadapi salah satu pertembungan paling sengit musim ini.
“Sebagai orang luar sebelum menyertai kelab ini, sentiasa menghiburkan melihat aksi antara City dan Liverpool.
“Untuk menjadi sebahagian daripadanya kini, saya sangat bersyukur, namun ia bakal menjadi satu cabaran.
“Tetapi kami sudah bersedia dan akan turun dengan semangat membara pada hari perlawanan. Saya sangat menantikan aksi ini,” katanya.
Dalam pada itu, Marc Guehi turut memberi amaran kepada Arsenal bahawa City akan menjadi semakin kuat menjelang penghujung musim dan yakin mampu mempertahankan gelaran juara.
“Kami pastinya berada di landasan yang tepat. Adalah penting untuk kami terus meningkatkan prestasi sebagai satu pasukan.
“Memenangi perlawanan adalah perkara besar dalam mana-mana pertandingan, jadi selagi kami meneruskan momentum sebegini, saya tidak nampak alasan mengapa kami tidak boleh mencapai sasaran musim ini,” ujar Guehi.
Ringkasan AI
- PEMAIN sayap Manchester City, Antoine Semenyo memberi amaran kepada Liverpool bahawa mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan pasukan itu di Anfield
- Semenyo dan rakan sepasukannya tidak sabar untuk menundukkan The Reds di laman lawan untuk terus mengejar Arsenal di takhta Liga Perdana Inggeris
- Pep Guardiola, pengendali City, mempunyai rekod kurang memuaskan di Anfield dengan hanya satu kemenangan sejak 2016 yang dicapai ketika pandemik Covid-19 tanpa penonton
- Guardiola menyedari pentingnya tidak kehilangan mata dalam perlawanan ini untuk memintas Arsenal dalam saingan liga
- Marc Guehi memberi amaran kepada Arsenal bahawa City akan menjadi lebih kuat menjelang penghujung musim dan yakin mampu mempertahankan gelaran juara



