Erma Fatima Nafi Set ‘Akulah Balqis’ Punca Isu Puteri Balqis, Mia Sara

Erma Fatima Nafi Set ‘Akulah Balqis’ Punca Isu Puteri Balqis, Mia Sara

Penerbit dan pengarah, Erma Fatima menjelaskan dia tidak mengetahui dakwaan perselisihan faham membabitkan dua bintang muda, Puteri Balqis dan Mia Sara Nasuha, yang dikatakan tercetus di set penggambaran drama arahannya.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, berkata sepanjang berada di lokasi penggambaran, fokusnya hanya pada mutu lakonan dan kelancaran produksi, bukan cerita di sebalik tabir.

“Setakat yang saya ingat, tak ada apa-apa berlaku di set. Saya sendiri pun tak pasti dari mana cerita itu bermula, jadi pada saya drama Akulah Balqis bukan puncanya,” katanya.

Menurut Erma, ketika mengarah, dia lebih banyak berada di hadapan monitor dan menumpukan sepenuhnya kepada kerja, manakala urusan di belakang kamera bukan sesuatu yang sering diambil tahu.

“Bila saya mengarah, saya duduk depan monitor dan fokus pada penggambaran. Mereka masuk set seperti biasa dan bawa watak yang diperlukan. Hal-hal belakang tabir, itu saya memang tak tahu,” ujarnya kepada XTRA.

ARTIKEL BERKAITAN: “Niat Saya Untuk Melindungi Bukan Menghina” – Nafi Bermusuh, Mia Sara Kagum Dengan Puteri Balqis

Erma ditemui pada majlis tayangan drama bersiri baharu Viu, Walid, di Saloma Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Erma mengakui mengetahui isu di media sosial membabitkan Puteri Balqis dan Mia Sara yang menjadi perbualan netizen, namun menegaskan dia tidak mengikuti perkembangan itu secara dekat kerana berada di luar Kuala Lumpur.

“Saya sebenarnya dah lama tak berada di KL dan baru balik semalam malam. Jadi memang saya tak begitu arif tentang isu mereka,” katanya.

Erma turut menjelaskan, kekangan masa juga menjadi faktor kerana dia dan pasukan produksi ketika ini memberi tumpuan penuh kepada pembikinan Walid yang bakal ditayangkan sepanjang Ramadan.

“Bukan saya tak ambil tahu perkembangan semasa, cuma kami memang sibuk siapkan drama bersiri ini untuk siaran Ramadan,” katanya.

Dalam pada itu, Erma berpandangan luahan atau rasa tidak puas hati di media sosial bukan sesuatu yang pelik pada era teknologi hari ini, malah bukan hanya dilakukan golongan muda.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan Jadi Kambing Hitam” – Puteri Balqis Seru Mangsa Buli Bangkit Melawan

“Bukan orang muda saja buat macam ini. Orang yang lebih berusia pun sama sebab media sosial sekarang dah jadi macam diari untuk ramai orang,” katanya.

Katanya lagi, setiap individu berhak menulis atau berkongsi apa sahaja di platform masing-masing, dan keputusan untuk berkongsi atau menyimpan sesuatu adalah hak peribadi.

“Siapa nak tulis, apa yang nak ditulis, itu hak masing-masing. Sama ada mereka rasa perlu kongsi atau tak, itu keputusan mereka,” ujarnya.

Terdahulu, netizen dikejutkan dengan dakwaan Puteri Balqis yang mendakwa Mia Sara pernah memburukkan ibunya, selain menyifatkan tangisan pelakon itu ketika temu bual sebagai usaha meraih simpati.

Sementara itu, menyentuh drama Walid yang menjadi sambungan kepada siri popular Bidaah yang dibintangi Faizal Hussein, Vanidah Imran dan Aqasha, Erma memaklumkan kisah berkaitan penunggang agama itu bakal ditayangkan di Viu bermula 26 Februari ini.

Scroll to Top