Dua lelaki Perancis berjaya tamat misi berjalan ke China

Dua lelaki Perancis berjaya tamat misi berjalan ke China

Shanghai: Dua sahabat berjaya menamatkan misi pengembaraan epik mereka, berjalan dari kampung halaman di tenggara Perancis ke Shanghai, semalam selepas hampir setahun setengah merentasi 16 negara.

Dalam keadaan letih namun jelas gembira, Loic Voisot, 26, dan Benjamin Humblot, 27, berpelukan sebaik tiba di Persiaran Bund, berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit pusat kewangan China yang memukau.

Voisot dan Humblot memulakan perjalanan dari Annecy, bandar pergunungan alpine di tenggara Perancis pada September 2024, didorong keinginan untuk menjalani ‘pengembaraan besar’ serta impian melawat China.

Mereka yang sudah bersahabat sejak berusia 10 tahun memilih untuk tidak menggunakan pengangkutan udara bagi mengurangkan kesan negatif industri penerbangan terhadap alam sekitar.

Voisot berkata, dia dan rakannya sendiri sukar mempercayai bahawa mereka akhirnya tiba di destinasi yang sekian lama hanya bermain di fikiran selepas menempuh perjalanan yang amat panjang dan mencabar.

Katanya amat bangga kerana berani mencuba sesuatu yang pada awalnya mereka sendiri tidak pasti mampu diselesaikan.

Pasangan itu menghabiskan masa selama 518 hari di jalanan dengan merentasi jarak kira-kira 12,850 kilometer (km) dan berehat setiap lima atau tujuh hari.

Secara purata, mereka berjalan sekitar 45km sehari, kecuali ketika terpaksa menaiki bas untuk tempoh singkat apabila memasuki Rusia atas faktor keselamatan dan logistik.

Kira-kira 50 orang berkumpul di lokasi bagi baki 10km terakhir pengembaraan mereka termasuk penduduk tempatan yang mengikuti kisah pengembaraan dua pemuda itu menerusi media sosial.

Bilangan penyokong terus bertambah apabila media, komuniti Perancis di Shanghai dan orang awam turut serta dalam perarakan berkenaan, sambil sorakan besar bergema sebaik mereka melintasi garisan penamat.

Voisot yang juga seorang perunding iklim berkata, mereka sedar tentang tanggungjawab manusia terhadap perubahan iklim dan menganggap kembara itu sebagai suatu sumbangan.

Menceritakan cabaran yang dihadapi, mereka terpaksa mengharungi musim sejuk yang ekstrem serta merentasi gurun di Uzbekistan demi merealisasikan tekad untuk terus bergerak ke timur.

Katanya, perkara pertama yang ingin dilakukan selepas misi itu berakhir adalah berehat dan tidur secukupnya sebelum memikirkan rancangan seterusnya termasuk kemungkinan meneruskan misi ke Amerika Syarikat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top