am@hmetro.com.my
Pasir Gudang: Festival Layang-Layang Sedunia Ke-28 Pasir Gudang, mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) atas penyertaan negara paling banyak dalam festival layang-layang.
Penganjuran yang masuk kali ke-28 itu menyaksikan 56 negara dari enam benua mengambil bahagian dengan enam negara yang pertama kali menyertainya dalam edisi kali ini.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A Rahim Nin berkata, kali terakhir festival itu merekodkan penyertaan tertinggi adalah pada 2015 dengan penyertaan daripada 49 negara.
“Kali ini kita terima penyertaan negara baharu iaitu Greece, Hungary, Qatar, Tunisia, Algeria dan Uruguay.
“Konsep kali ini kita ikut benua dengan benua paling banyak penyertaan adalah benua Eropah dengan 24 negara diikuti benua Asia dengan 20 negara.
“Jadi, secara keseluruhannya, kita menerima penyertaan 56 negara, tidak termasuk Malaysia dan ini adalah pencapaian penyertaan negara yang tertinggi dalam festival layang-layang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Layang-Layang Sedunia Ke-28 Pasir Gudang yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Bukit Layang-Layang di sini, malam tadi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman; Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd Masni Wakiman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datin Paduka Hazlina Jalil.
A Rahim yang juga Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor berkata, pihaknya juga yakin dapat mencapai sasaran jumlah pengunjung yang hadir iaitu 650,000 sehingga hari terakhir penganjuran festival itu, hari ini
“Kita memasang sembilan kamera di pintu-pintu masuk dan menggunakan ‘Visitor Tracking System’ yang mana setakat malam ini (semalam) mencecah lebih 485,000,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz ketika berucap pada majlis perasmian itu berkata, pencapaian dalam MBOR itu amat membanggakan sekaligus meletakkan Johor di peta dunia.
Katanya, festival yang mula diperkenalkan pada tahun 1995 itu bukan sahaja platform memperjuangkan permainan warisan itu malah menjadi medan bertukar pengetahuan dan meraikan persahabatan membabitkan peserta dari seluruh pelusuk dunia.
“Festival Layang-Layang ini bukanlah nama asing lagi dalam kalangan pelayang antarabangsa, kali ini kita berjaya menghimpunkan peserta dari benua Asia, Eropah, Afrika, Amerika Selatan, Amerika Utara dan Australia.
“Kepelbagaian latar belakang dan budaya inilah yang kita raikan, persahabatan yang tercipta di sini harus disemai. Kerajaan negeri berbesar hati menjadi tuan rumah kepada peserta dari 56 negara yang hadir ke festival ini.
“Pengiktirafan MBOR ini juga menjadikan festival kali ke-28 ini cukup bermakna, justeru kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada Majlis Pelayang Malaysia untuk mengangkat festival ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




