Pelakon dan penyanyi, Amira Othman memilih untuk tidak melayan kecaman segelintir pihak yang mempersoalkan penampilan fesyennya ketika menjalani penggambaran bagi sebuah jenama pakaian, baru-baru ini.
Menurut suri hati pelakon Fattah Amin ini, dia sudah terbiasa dengan pelbagai komen di media sosial, malah ada masa kehadirannya ke program tertentu pun boleh menjadi bahan perdebatan.
“Kalau melibatkan saya, memang akan ada saja yang nak komen. Pergi acara pun boleh jadi isu, apatah lagi bila orang nampak ada kekurangan pada diri saya,” katanya.
Menurut Amira, fesyen bersifat subjektif dan selera setiap orang tidak sama.

“Fesyen ni macam makanan juga. Ada yang rasa cantik, ada yang rasa biasa saja. Ada yang suka, ada yang tak berkenan. Jadi saya anggap kritikan tu perkara biasa,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa Berbadan Dua, Amira Othman Mohon Privasi
Amira ditemui pada acara pertunjukan fesyen dan pelancaran koleksi raya 2026 jenama Amber bertemakan ‘Eid’s Time For Love’, baru-baru ini.
penyanyi lagu Rasa & Takdir ini antara duta dan wajah kempen bagi koleksi lebaran Amber ‘Eid’s Time For Love’, bersama beberapa selebriti lain termasuk Fattah Amin, Hael Husaini, Nora Danish, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.


Dalam masa sama, Amira menegaskan dia terbuka menerima teguran asalkan disampaikan dengan adab.
“Kalau orang tegur dengan cara baik, saya terima dengan hati terbuka. Tapi kalau cara tu menjatuhkan, saya anggap itu datang daripada yang memang tak suka. Buat macam mana pun, tetap akan cari salah,” katanya.
Kakak kepada penyanyi Irfan Haris ini turut mengakui dia lebih memilih untuk menghargai sokongan ramai berbanding memberi perhatian kepada komen negatif.
“Saya lebih fokus pada yang menyokong. Yang sebilangan kecil tu, saya anggap tak perlu dilayan,” katanya.

Ditanya sama ada komen pedas netizen memberi kesan kepada emosi, Amira menjelaskan dia memilih untuk kekal positif dan menumpukan kepada perkara yang bermanfaat.
“Kalau saya terlalu ambil hati, mungkin saya takkan ada di sini. Ini asam garam anak seni. Lagipun banyak yang komen negatif ni datang daripada akaun palsu.
“Mereka yang menyokong tu orang betul. Jadi buat apa nak fikir pasal akaun palsu yang tak bawa manfaat. Nanti diri sendiri yang stress.
“Kepada yang tak suka, itu pilihan masing-masing. Saya tak boleh paksa. Rezeki Allah bagi, sihat pun Allah bagi. Saya syukur sangat,” kata optimis.




