Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengulangi komitmen Malaysia untuk kekal sebagai pembekal minyak sawit mampan yang boleh dipercayai kepada India.
Justeru, Anwar dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, menggalakkan untuk mempertingkatkan kerjasama dalam penanaman kelapa sawit.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua negara, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk kerjasama dalam pembangunan rantaian nilai minyak sawit, termasuk produk hiliran berasaskan sawit bernilai tinggi.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan libat urus berstruktur mengenai penyelesaian bagi perkara melibatkan akses pasaran,” katanya.
Sementara itu, kenyataan itu berkata kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA).
Anwar dan Modi menyambut baik semakan berterusan terhadap AITIGA untuk menjadikannya saling menguntungkan, memudahkan perdagangan dan relevan dengan amalan perdagangan global semasa.
“Kedua-dua pemimpin juga menghargai MICECA atas potensinya untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan menggalakkan penggunaannya secara optimum,” katanya.
Dalam pada itu, Modi menekankan peranan India sebagai destinasi pelaburan utama bagi syarikat Malaysia, manakala Anwar mengalu-alukan kehadiran penting syarikat pembuatan dan teknologi India yang telah menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia.
“Kedua-dua pemimpin itu mengakui bahawa ketersambungan merupakan penentu utama dan pemboleh untuk kerjasama ekonomi yang dipertingkatkan. Sehubungan itu, mereka menghargai ketersambungan udara dan maritim yang semakin meningkat antara kedua-dua negara dan bersetuju untuk memperkukuhnya lagi, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




