Malam tadi, 10,000 peminat ikon filem pecah panggung dan muzik 90-an iaitu Datuk Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira berhimpun menyaksikan persembahan ‘comeback’ tiga figura itu yang bergandingan dalam Sembilu The Reunion Live In Concert bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Biarpun hujan renyai, peminat setia Awie, Ziana dan Erra dari seluruh negara juga Singapura hadir memberi sokongan malah ‘melaram’ sakan mengikut tema ditetapkan oleh penganjur, Ideatelier iaitu busana era 90-an berona merah, hitam dan emas.

Sebelum tirai persembahan dibuka, Engku Aleesya, Merrah dan Siti Nur Kaseh iaitu anak Erra, Awie juga Ziana tampil dalam uniform sekolah dengan melakonkan babak dalam filem Sembilu hingga suasana dalam dewan menjadi gamat.
Sorakan peminat semakin bergemuruh usai pengarah dan penerbit filem Sembilu, Datuk Yusof Haslam membuat kemunculan di atas pentas.
Selesai gimik itu, Awie, Ziana dan Erra muncul di atas pentas dengan masing-masing menyanyikan lagu rancak sebagai pemanas badan iaitu Rock N Roll Ronda Ronda, Sangkar Cinta juga Jendela Hati.

Awie kemudian mengambil alih pentas bagi segmen solo dengan mendendangkan tiga lagu hitsnya iaitu Di Bayang Awan, Tiada Rahsia Antara Kita dan Ukiran Jiwa.
Selain mempamerkan kehebatan vokalnya pada usia 58 tahun, Awie juga membuktikan dirinya sebagai penghibur dengan jenakanya yang membuatkan seluruh dewan tidak kering gusi.
Selepas persembahan Awie, Erra menyusul di atas pentas dalam busana merah jambu dengan menyanyikan lagu Hanya Di Mata diikuti dua hits baladanya iaitu Cinta Abadi dan Pasrah.

Segmen solo separuh masa pertama disudahi dengan persembahan memukau Ziana menerusi nyanyian lagu malar segarnya iaitu Anggapanmu, Bersama Akhirnya, medley Korban Cinta dan Kekal juga Kemelut di Muara Kasih.
Memasuki babak kedua konsert, Awie tampil semakin bertenaga dengan lagu Di Ambang Wati, Ratuku dan Dipenjara Janji malah mencuri perhatian apabila beliau cuba mengusik suami Erra, Ezwan Zain atau dikenali ‘Mr E’ yang ada di tempat duduk penonton.
Manakala primadona Erra pula memulakan persembahan babak kedua di bawah pentas dengan lagu Kerana kemudian Yang Terindah Hanya Sementara dan Pertemuan yang mengajak sebahagian peminatnya berdiri dari tempat duduk untuk menari bersama
Usai persembahan Erra, Ziana muncul sekali lagi dengan medley Berpisah Jua dan Puncak Kasih namun gagal menahan sebak selepas menyanyikan lagu Setiaku Di Sini secara akustik kerana mengenangkan ibu bapanya, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah atau dikenali Pak Zain juga Allahyarham Robiah Abdul yang sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, Ziana cuba mengawal emosinya dan sempat menitipkan doa buat kedua ibu bapanya sebelum meneruskan persembahan lagu Madah Berhelah sebagai penutup segmen solonya.
Sebelum konsert melabuhkan tirai, Awie menghadiahkan peminat dengan duet lagu Cinta Makrifat bersama Erra dan Senja Nan Merah bersama Ziana seterusnya Halaman Asmara sebagai penutup persembahan.
Apa yang dapat disimpulkan, konsert berdurasi hampir dua jam 30 minit di bawah pimpinan pemuzik terkenal, Aubrey Suwito itu cukup ikonik, terasa cepat berlalu dan sangat berbaloi kerana membariskan seleksi hits ‘sing along’ tiga figura itu yang masih utuh popularitinya.

Bagi meneruskan kesinambungan, Sembilu The Reunion Live In Concert anjuran syarikat Ideatelier akan menemui peminat di Singapura pada 24 April depan.
Teks oleh: RM




