Zamri Vinoth dan Tamim Dahari direman dua hari susulan himpunan di Sogo

Zamri Vinoth dan Tamim Dahari direman dua hari susulan himpunan di Sogo

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak direman dua hari bermula hari ini selepas ditahan berhampiran Kompleks Sogo, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua individu terbabit dibenarkan reman dua hari bagi membantu siasatan.

Harian Metro hari ini melaporkan polis mengesahkan menahan seramai 19 individu termasuk Zamri dan Tamim Dahari berhampiran Kompleks Sogo.

Fadil dilaporkan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima pemakluman penganjuran himpunan daripada pihak penganjur terdiri daripada Gabungan Pendakwah Bebas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

“Selepas pertimbangan dan risikan keselamatan, polis tidak membenarkan penganjuran perhimpunan ini diadakan.

“Polis turut menerima sebanyak 131 laporan polis berhubung dengan perhimpunan ini,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu, polis menjalankan tangkapan seramai 19 individu terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita termasuk Zamri dan Tamim Dahari yang kesemua berusia 30 hingga 64 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top