MPHS gempur sarang lombong Bitcoin haram di Hulu Selangor

MPHS gempur sarang lombong Bitcoin haram di Hulu Selangor

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lima premis diserbu di kawasan perniagaan sekitar Bukit Beruntung, Hulu Selangor selepas dikesan melakukan aktiviti perlombongan Bitcoin.

Kegiatan mereka terbongkar menerusi operasi bersepadu penguatkuasaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang diketuai Yang Dipertuanya, Julaihah Jamaludin dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Operasi dijalankan susulan aduan awam berhubung gangguan bekalan elektrik dipercayai berpunca daripada penggunaan tenaga elektrik secara berlebihan dan tidak terkawal di premis tersebut.

MPHS dalam kenyataannya berkata hasil operasi itu mendapati lima premis di kawasan itu menjalankan aktiviti perlombongan tanpa kebenaran atau lesen yang sah.

“Aktiviti ini tidak dibenarkan sekiranya dijalankan tanpa kelulusan pihak berkuasa dan melibatkan penggunaan bekalan elektrik secara tidak terkawal.

“Ia bukan sahaja menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada penduduk sekitar malah turut mendatangkan risiko kerosakan infrastruktur elektrik, peningkatan bahaya litar pintas serta kebakaran, dan menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya, hari ini.

MPHS berkata, tindakan sitaan peralatan dibuat ke atas premis terbabit.

“Kami ingin menegaskan sebarang aktiviti penggunaan elektrik dalam skala besar perlu mematuhi semua peraturan lesen, pendaftaran perniagaan serta syarat teknikal bekalan elektrik yang ditetapkan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, MPHS juga menasihatkan semua pemilik premis supaya sentiasa memastikan premis masing-masing dipantau dan tidak digunakan bagi menjalankan sebarang aktiviti tanpa kebenaran atau melanggar undang-undang yang ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top