JKM tentukan waris urus akaun bantuan Pak Mail

JKM tentukan waris urus akaun bantuan Pak Mail

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan dalam proses menentukan waris yang layak untuk menjaga akaun bagi Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) sebanyak RM500 sebulan kepada Pak Mail.

Pak Mail, atau nama sebenarnya Ismail Che Noh, 79, sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas kisahnya dikongsikan di media sosial oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menerusi aktivis sosial, Abbe Hae, ketika ditemukan di Kampung Repek, Pasir Mas, pada Khamis.

Pengarah JKM Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata, bantuan terbabit akan diluluskan pada bulan ini, namun dengan bantuan wakil terdekat seperti anak atau cucu supaya dapat membeli keperluan kepada mangsa.

“Bantuan yang diterima diharap dapat membantu keluarga menjaga kebajikan Pak Mail secara baik dan berterusan.

“Tambahan pula, dia perlu diurus sepenuhnya termasuk untuk mandi, makan minum serta pakaian,” ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan dan Sukarelawan Negeri Kelantan di Kubang Kerian di sini, hari ini.

Turut hadir, aktivis sosial yang juga Pengasas NGO Jejak Jalanan, Abbe Hae.

Mengulas lanjut, Che Samsuzuki berkata, selain lawatan harian selama seminggu oleh kakitangan JKM, pihaknya turut merancang menggunakan khidmat sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) bagi memastikan warga emas berkenaan dipantau secara berkala.

“Setakat ini, hak penjagaan Pak Mail terus kekal kepada anaknya memandangkan sudah mendapat persetujuan keluarga,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kisah warga emas itu ditularkan aktivis, Abbe Hae, di media sosial miliknya dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top