KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hadir ke rumah Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini untuk perjumpaan khas pada malam ini.
Antara yang dilihat hadir ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Setakat ini, kelibat Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak kelihatan ekoran Ahli Parlimen Larut itu difahamkan berada di luar negara.
Menerusi klip video yang dimuat naik oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, kelibat Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu tidak kelihatan.
Malah, klip video berdurasi 56 saat itu memaparkan Muhyiddin duduk di sebelah Ahmad Faizal dan Mohamed Azmin.
Perjumpaan tersebut berlangsung kira-kira empat jam.
Sebelum mesyuarat diadakan, para pemimpin makan malam serta membaca selawat.
Muhyiddin turut menyampaikan ucapan mengenai polemik yang dihadapi Bersatu dan isu-isu berkaitan kerajaan.
Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan, satu pertemuan khas melibatkan ahli Parlimen, senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu diadakan malam ini bagi membincangkan kedudukan Hamzah sebagai Timbalan Presiden.
Menurut sumber, pertemuan itu bertujuan memberi penjelasan mengenai perkembangan dalaman parti termasuk memorandum yang dikemukakan oleh beberapa bahagian berhubung kedudukan Hamzah. – UTUSAN




