Lambakan produk asing ancam kelangsungan peniaga PMKS tempatan

Lambakan produk asing ancam kelangsungan peniaga PMKS tempatan

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lambakan produk asing khususnya dari China kini semakin ketara di pasaran tempatan, didorong oleh kemudahan pembelian dalam talian yang sukar dikawal.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi menjadi sasaran utama, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelangsungan peniaga dan pengeluar tempatan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Jelasnya, situasi itu dipandang serius apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan lambakan produk asing berada pada tahap membimbangkan.

“Dari sudut pengguna, kesan jangka pendek dilihat melegakan. Data rasmi menunjukkan inflasi 2025 kekal sederhana sekitar 1.3 hingga 1.6 peratus, dengan sebahagian barangan pengguna mencatat harga lebih rendah akibat persaingan dan lebihan penawaran import. Keadaan ini membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

“Namun, diingatkan kesan jangka sederhana dan panjang boleh menjadi sebaliknya. Lambakan yang berpanjangan berisiko menekan pengeluar tempatan sehingga menjejaskan pekerjaan dan pendapatan rakyat,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, KPDN menyifatkan lambakan produk asing yang dijual dalam negara ini di tahap membimbangkan.

Susulan itu, Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu itu turut diambil perhatian dalam jawatankuasa khas yang terdiri daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu selain KPDN.

Barjoyai berkata, jika kapasiti pengeluaran domestik menyusut, Malaysia boleh menjadi terlalu bergantung kepada import, sekali gus terdedah kepada kenaikan harga mendadak pada masa depan apabila persaingan tempatan lenyap.

“Isyarat awal sudah kelihatan apabila import negara meningkat lebih pantas berbanding eksport pada 2024, diikuti penyusutan lebihan dagangan dalam beberapa bulan 2025.

“Keadaan ini mencerminkan penembusan kuat barangan luar ke pasaran domestik dan memberi tekanan kepada rantaian bekalan tempatan sekiranya tidak ditangani segera,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Haji Md Razak berkata, secara amnya, lambakan produk asing sememangnya memberi kesan yang signifikan dan bersifat dwi-dimensi terhadap ekonomi Malaysia.

“Dari sudut positif, kemasukan produk asing meningkatkan tahap persaingan dalam pasaran domestik, yang seterusnya memberi manfaat kepada pengguna melalui harga yang lebih kompetitif, pilihan yang lebih luas, serta peningkatan kualiti produk.

“Dalam jangka pendek, fenomena ini membantu mengekang inflasi kos sara hidup, khususnya bagi barangan pengguna harian. Selain itu, pendedahan kepada produk luar turut memaksa firma tempatan untuk berinovasi, meningkatkan kecekapan pengeluaran, dan mengadaptasi teknologi baharu bagi kekal relevan dalam pasaran global yang semakin terbuka,” katanya.

Tambahnya, dalam konteks integrasi perdagangan antarabangsa, lambakan produk asing juga mencerminkan keterbukaan ekonomi Malaysia yang menyokong aliran perdagangan dan pelaburan rentas sempadan.

“Dari perspektif struktur ekonomi jangka sederhana dan panjang, lambakan produk asing boleh memberi kesan negatif sekiranya tidak diuruskan dengan baik.

“Industri tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berdepan tekanan hebat akibat ketidakmampuan menyaingi skala pengeluaran, subsidi, atau kelebihan kos negara pengeksport.

“Keadaan ini berpotensi melemahkan kapasiti pengeluaran domestik, meningkatkan kebergantungan kepada import serta menjejaskan imbangan perdagangan negara.

Lebih membimbangkan, jika sektor strategik tempatan terhakis, ia boleh membawa implikasi terhadap peluang pekerjaan, pembangunan teknologi tempatan dan daya tahan ekonomi nasional,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top