Fasa kehidupan Erra kini lebih matang

Fasa kehidupan Erra kini lebih matang

syafil.syazwan@hmetro.com.my

NAMA Primadona Filem Melayu, Erra Fazira tidak pernah pudar daripada dunia seni tanah air. Namun, fasa kehidupannya kini tampak lebih matang, tenang dan penuh dengan warna-warni tanggungjawab baharu.

\Bukan sekadar bergelar anak seni, Erra kini menggalas peranan sebagai isteri dan ibu tiri, satu transisi yang dilihatnya sebagai satu rahmat dan ladang pahala.

Ditemui di majlis memperkenalkan Erra dan Datuk Rosyam Nor sebagai duta jenama ACGas baru-baru ini, Erra membuka bicara mengenai kehidupannya selepas kembali bergelar isteri.

Ternyata, sinar kebahagiaan terpancar jelas pada wajahnya, terutama apabila bercerita mengenai kerjasamanya dengan suami, Ezwan Zain dalam dunia kandungan digital menerusi program podcast.

Trend selebriti mengendalikan podcast bukan perkara asing, namun apabila Erra bergandingan dengan suaminya, ia menarik perhatian ramai.

Menurut Erra, gandingan mereka berlaku secara spontan tanpa sebarang peraturan ketat atau skrip yang kaku.

“Kami tidak menetapkan sebarang peraturan khusus. Fokus utama kami adalah untuk berkongsi pengajaran dan inspirasi.

“Kami bebas berbincang mengenai apa sahaja yang dirasakan sesuai untuk penonton. Buat masa ini, rancangan adalah untuk meneruskannya kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Bekerja dengan pasangan sendiri kadangkala boleh mengundang konflik bagi sesetengah orang, namun tidak bagi Erra. Malah, dia menyifatkan tempoh beberapa bulan ini sebagai satu proses pembelajaran yang harmoni.

“Setakat ini, tiada masalah. Suami masih dalam proses belajar dan saya sendiri beruntung kerana dapat belajar daripada mentor hebat seperti Datuk Rosyam.

“Kami mahu mengupas topik yang membina minda, terutama isu rumah tangga dan kehidupan wanita bekerjaya,” katanya.

Menyentuh soal rutin harian, Erra mengakui banyak perkara yang perlu diselaraskan. Perbezaan tabiat, terutama soal pemakanan, menjadi antara elemen yang menuntut toleransi.

“Dulu saya jarang sarapan, tapi suami pula sebaliknya. Jadi, banyak yang perlu diselaraskan daripada waktu tidur hingga ke rutin pagi.

“Alhamdulillah, suami seorang yang ringkas dan sangat memahami kesibukan saya yang padat dengan kerja sebelum menjelangnya Ramadan ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, populariti Erra turut memberi tempias kepada perniagaan kafe milik suaminya. Ramai peminat sanggup membawa ibu bapa mereka ke sana semata-mata untuk bertemu primadona kesayangan mereka itu.

“Alhamdulillah, itu rezeki selepas kahwin. Kalau saya tiada pun, mereka gembira dapat berjumpa dan bergambar dengan suami.

“Suami saya pun sekarang dah macam artis, setiap kali turun kafe mesti orang ajak bergambar. Saya selalu pesan kepadanya, itu lumrah bila kita menyantuni tetamu dalam perniagaan,” katanya.

Beralih ke topik anak kesayangannya, Engku Aleesya, nada suara Erra bertukar menjadi lebih lembut dan penuh kebanggaan.

Aleesya yang menyambung pengajian dalam peringkat A-Level di sebuah kolej di Kuala Lumpur, baru-baru ini terpilih untuk melawat Universiti Oxford di London.

Menepis anggapan bahawa Aleesya sudah menetap di luar negara, Erra menjelaskan bahawa itu adalah lawatan singkat yang ditaja sepenuhnya atas kecemerlangan anaknya.

“Dia bukan sambung belajar di London lagi, itu hanya perjalanan lapan ke sembilan hari ke Universiti Oxford untuk beri dia semangat. Dia antara pelajar yang terpilih dan ditaja.

“Insya-Allah, tahun depan baru kita putuskan sama ada dia akan ke luar negara atau kekal di Malaysia,” katanya.

Lebih menarik, Aleesya memasang impian untuk menjadi pakar psikiatri, satu bidang yang jarang diteroka oleh anak muda seusianya.

Menurut Erra, minat itu lahir daripada sifat Aleesya yang gemar membaca dan seorang pemerhati yang tegar.

“Sejak kecil dia pendiam, tapi dia perhatikan watak orang. Kadang-kadang dia yang akan tegur saya mengenai sesuatu pandangan.

“Bila dia pilih bidang psikiatri, saya rasa ia sangat sesuai dengan minatnya. Bila dia suka apa yang dia buat, susah macam mana pun dia tidak akan rasa terbeban,” katanya.

Menjadi anak kepada figura terkenal seperti Erra pastinya memberi tekanan tersendiri buat Aleesya.

Erra tidak menafikan anaknya pernah melalui fasa tidak selesa apabila sering diperhatikan atau dikaitkan dengan nama ibunya.

“Dia pernah rasa kekok bila orang tegur, ‘Eh, awak anak Erra Fazira ya?’. Ada juga tekanan bila dia dah biasa skor bagus, tiba-tiba keputusan tidak secemerlang dulu.

“Tugas saya untuk buat dia tenang. Saya selalu katakan, yang penting saya nampak usaha dia. Sekarang dia lebih matang dan sudah boleh mengendalikan orang ramai. Malah saya terkejut dia boleh buat penceritaan dengan baik untuk bukunya sendiri,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersedia melepaskan Aleesya pergi jauh ribuan batu demi menuntut ilmu nanti, Erra menjawab dengan tenang dan berseloroh.

“Saya rasa saya sedia, tapi dia yang mungkin akan mengeluh sebab segalanya sudah senang di sini. Malah, saya rasa ayahnya (Engku Emran) yang mungkin akan menangis lebih awal bila saat itu tiba nanti,” katanya.

Satu lagi sisi kehidupan Erra yang menarik perhatian adalah hubungannya dengan anak tiri, Dania Sofea. Menjadi ibu tiri bukan satu tugas yang mudah bagi kebanyakan wanita, namun Erra mempunyai falsafah tersendiri dalam menawan hati anak suaminya.

“Saya cuma mahu jadi diri sendiri. Bagaimana saya melayan Aleesya, begitu saya melayan Dania. Bagi saya, kasih sayang itu perlu digandakan, bukan dibahagi-bahagikan. Saya tidak rasa ia satu masalah besar,” katanya.

Erra juga sangat menghormati ruang peribadi antara suami dan anaknya. Dia memahami bahawa sebelum kehadirannya, mereka sudah mempunyai ikatan yang kuat.

“Saya hormat masa suami dengan anaknya. Kalau mereka mahu bercuti berdua atau meluangkan masa bersama, saya tiada masalah. Saya akan masuk apabila keadaan sesuai. Hormat-menghormati adalah kunci utama dalam membina keluarga harmoni ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top