Carreras, Mbappe wira Real Madrid

Carreras, Mbappe wira Real Madrid

Valencia, Sepanyol: Real Madrid kekal satu mata di belakang pendahulu LaLiga, Barcelona selepas menang 2-0 ke atas Valencia, awal pagi tadi menerusi jaringan Alvaro Carreras dan Kylian Mbappe pada separuh masa kedua.

Real mendominasi penguasaan bola namun sukar mencipta peluang berbahaya, dengan penjaga gol Valencia, Stole Dimitrievski, jarang diuji ketika pelawat gagal menterjemahkan kawalan permainan kepada ancaman sebenar.

Mereka akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-65 menerusi Carreras sebelum Mbappe memastikan kemenangan pada masa kecederaan.

Barcelona mendahului liga dengan 58 mata, diikuti Real di tempat kedua dengan 57 mata. Valencia pula berada di tangga ke-17, hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Mbappe menjadi ancaman utama menerusi larian di sebelah kiri, namun peluang jelas agak terhad.

Pengendali Real, Alvaro Arbeloa, terpaksa melakukan rombakan dengan ketiadaan pemain sayap, Vinicius Jr yang digantung perlawanan serta tiga tonggak yang cedera iaitu Jude Bellingham, Rodrygo dan Eder Militao.

Ketiadaan mereka membuka peluang kepada pemain akademi, Raul Asensio, David Jimenez dan Gonzalo Garcia untuk diturunkan, dengan Mbappe menjadi satu-satunya pencetus impak dalam pasukan Real yang tampak kurang bertenaga.

Carreras membuka tirai jaringan selepas kesilapan pertahanan lawan yang membolehkan dia meledak rembatan ke penjuru gawang sebelum dalam kotak penalti sebelum Mbappe melengkapkan kemenangan dengan penyudah jarak dekat selepas mendapat hantaran Brahim Diaz.

Ia gol liga ke-23 Mbappe musim ini, sekali gus melebarkan jurang kepada lapan gol di puncak carta penjaring.

“Bermain di Valencia sentiasa seperti pergi ke klinik gigi,” kata Arbeloa kepada wartawan.

“Kami tahu betapa sukarnya perlawanan ini. Ia memerlukan kesungguhan tinggi. Kami bermain dengan penuh disiplin dan komitmen. Saya gembira.”

Dalam perlawanan lain, Atletico Madrid semakin tercicir dalam perebutan kejuaraan selepas tewas 0-1 di laman sendiri kepada Real Betis.

Antony meledak gol kemenangan pada minit ke-28 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti, menghadiahkan pasukan kendalian Manuel Pellegrini tiga mata penting dalam usaha mereka memburu slot Eropah.

Atletico kini di tangga ketiga dengan 45 mata, tiga mata di hadapan Villarreal di tempat keempat yang masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan. Betis pula menghuni tangga kelima dengan 38 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top