Riyadh: Al-Nassr tidak akan menghalang Cristiano Ronaldo sekiranya mendesak untuk berpindah pada musim panas ini, dengan klausa pelepasan bernilai £43 juta (RM230 juta) dalam kontrak penyerang Portugal itu akan berkuat kuasa sebaik musim berakhir.
Ronaldo, 41, tidak diturunkan dalam dua perlawanan terakhir Al-Nassr selepas dikatakan melancarkan protes senyap berikutan rasa tidak puas hati terhadap Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) yang didakwanya lebih memihak kepada kelab pesaing dalam urusan perpindahan pemain.
Selepas tidak diturunkan menentang Al-Ittihad kelmarin, spekulasi mengenai kemungkinan Ronaldo meninggalkan Liga Pro Saudi semakin memuncak dan kini Al-Nassr dilaporkan bersedia memutuskan hubungan dengan bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu.
Sehubungan itu, pihak liga juga bersedia untuk menandatangani ‘raja’ baharu sekiranya Ronaldo yang menjadi wajah utama liga sejak menyertai mereka pada Disember 2022, benar-benar angkat kaki.
Sumber yang rapat dengan liga memberitahu: “Dengan beberapa nama besar lain meninggalkan liga, kami akan meninjau ramai bintang ternama pada musim panas. Mohamed Salah dan Bruno Fernandes adalah pilihan paling ideal. Salah khususnya, kerana dia mampu menarik minat penonton Arab sebagai seorang Muslim.
“Kemasukan salah seorang daripada mereka, bersama bakat muda, akan memberi impak besar kepada kami dan mengurangkan kesan kehilangan Ronaldo.”
Walaupun Manchester United tidak berminat membawa Ronaldo kembali ke Old Trafford buat kali ketiga, terdapat kemungkinan penyerang itu kembali ke kelab pertamanya, Sporting Lisbon.
Namun, masih menjadi tanda tanya sama ada kelab Portugal itu mampu menyediakan dana £43 juta yang mungkin diperlukan untuk membawa Ronaldo pulang ke Eropah.
Ketiadaan Ronaldo kelmarin tidak menjejaskan Al-Nassr, yang mencatat kemenangan 2-0 ke atas Al-Ittihad hasil jaringan lewat daripada bekas pemain Liverpool, Sadio Mane dan Angelo Gabriel.
© New Straits Times Press (M) Bhd




