GENEVA: Akademi Geneva bagi Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia memberi amaran jumlah kematian di Gaza berkemungkinan melebihi 200,000 orang, berdasarkan penurunan populasi wilayah itu yang dianggarkan melebihi 10 peratus sejak Oktober 2023.
Ketua akademi itu, Stuart Casey Maslen berkata, penurunan tersebut menunjukkan kesan kemanusiaan amat besar dan jauh melebihi angka korban sekitar 70,000 orang yang dilaporkan secara rasmi setakat ini.
“Kami tidak percaya itu angka muktamad. Itu hanyalah jumlah mayat yang sudah ditemukan. Masih terdapat ramai yang tertimbus di bawah runtuhan.
“Jika data tersebut tepat, kita bercakap tentang lebih 200,000 kematian. Masa akan menentukan angka sebenar, namun jelas ia melibatkan kehilangan nyawa pada skala yang amat besar. Kita perlu mengetahui jumlah sebenar dan bagaimana mereka terkorban,” katanya.
Bercakap kepada agensi berita Anadolu mengenai laporan akademi berjudul War Watch yang meneliti situasi di Gaza dan 23 konflik bersenjata lain sepanjang 18 bulan lalu, Maslen menyifatkan keadaan di wilayah itu ‘amat dramatik’.
“Kami jelas berasa lega kerana permusuhan berskala besar seperti tahun lalu sudah berkurangan susulan gencatan senjata. Namun, ini tidak bermakna penderitaan penduduk Gaza telah berakhir. Kami masih amat bimbang terhadap nasib keseluruhan penduduk di sana,” katanya.
Maslen turut menyuarakan kebimbangan khusus terhadap mereka yang cedera dan memerlukan pemindahan segera ke lokasi selamat untuk rawatan sewajarnya.
Beliau menekankan bantuan kemanusiaan berskala jauh lebih besar perlu disalurkan segera kepada penduduk Gaza, termasuk bekalan makanan dan air bersih.
Katanya, penduduk juga memerlukan perlindungan, tempat tinggal daripada cuaca musim sejuk yang mencabar dan rawatan perubatan.
“Terdapat pelbagai keperluan mendesak yang kami harap akan berubah dalam masa terdekat kerana keadaan semasa masih tidak dapat diterima. Kematian masih terus berlaku dalam kalangan penduduk Gaza,” katanya.
Maslen berkata, usaha awal pembinaan semula Gaza sudah bermula, namun menegaskan tahap kemusnahan di wilayah itu adalah luar biasa dan proses pembinaan semula tidak akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu atau bulan.- AGENSI




