Gapyeong, Korea Selatan: Dua askar maut selepas sebuah helikopter tentera terhempas di sebuah daerah di utara pada Isnin, menurut laporan Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan pegawai.
Helikopter AH-1S Cobra milik Kumpulan Penerbangan ke-15 Tentera Darat itu terhempas pada 11.04 pagi di Daerah Gapyeong, kira-kira 55 kilometer di timur laut Seoul, selepas berlepas untuk latihan penerbangan pada 9.45 pagi.
Dua pegawai waran yang berada di dalam pesawat itu dibawa ke hospital dalam keadaan jantung terhenti, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa insiden itu tidak membabitkan sebarang kebakaran atau letupan.
Siasatan akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar nahas berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




