Kes tembakan Durian Tunggal di peringkat pembuktian teknikal – Saifuddin

Kes tembakan Durian Tunggal di peringkat pembuktian teknikal – Saifuddin

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka, pada November tahun lalu sedang berada di peringkat melengkapkan pembuktian teknikal.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberitahu ketika ini, pihak polis sedang menunggu dua laporan penting iaitu berkaitan patologi dari Hospital Melaka dan analisis forensik membabitkan Jabatan Kimia.

“Kita memberi perhatian berat terhadap beberapa perkara dibangkitkan waris mangsa mengenai insiden ini.

“Suka saya maklumkan, di peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mereka telah pun, yang pertama, mewujudkan pasukan siasatan khas yang ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah diketuai pegawai kanan berpangkat Senior Asisten Komisioner.

“Dari sudut prosedur perundangan, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) sebanyak dua kali, 16 dan 29 Disember.

“Kita sekarang berada di tahap proses untuk melengkapkan pembuktian teknikal. Polis sedang menunggu laporan pakar yang kritikal, pertama laporan patologi dari Hospital Melaka dan laporan balistik dan gun shot residue dari Jabatan Kimia.

“Laporan teknikal ini apabila diperoleh, kertas siasatan akan dirujuk semula oleh pasukan petugas khas kepada AGC, untuk arahan lanjut, selaras kuasa pendakwa raya di bawah perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 16 Disember tahun lalu, PDRM mengesahkan kertas siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka telah dirujuk dan dikemukakan kepada AGC.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam kenyataan, berkata hasil penelitian, AGC bersetuju dengan syor PDRM dan menuntut supaya siasatan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kejadian tembakan terbabit berlaku November lalu, sekitar jam 4.30 pagi apabila tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Akibat serangan itu, anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an parah pada lengan kiri.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut memberitahu, sekiranya penelitian fakta kes dan bukti saintifik memenuhi elemen pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, maka proses seterusnya mengikut lunas undang-undang akan dilaksanakan.

“Jawatankuasa ini juga kena memastikan bahawa siasatan dilakukan dengan tahap kredibilti tertinggi, telus dan tanpa kompromi berdasarkan prinsip equality before the law serta perkara 8 Perlembagaaan Persekutuan,” katanya.

SN Rayer (PH-Jelutong) ketika mencelah, mengemukakan dakwaan isu double standard dalam kes tembakan Durian Tunggal susulan anggota polis terbabit tidak ditahan reman, sedangkan dalam satu kes lain di Kedah, seorang gadis berusia 16 tahun yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya ditahan selama sembilan hari bagi siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, 2007.

Menjawab isu dibangkitkan Rayer, Saifuddin memaklumkan sukar untuk beliau memberikan jawapan yang jelas kerana kedua-dua kes adalah berbeza.

“Kenapa tak lakukan perkara sama dalam kes Durian Tunggal, apabila perkara itu dibawa ke khalayak, apa reaksi segera dilakukan polis Bukit Aman, segera tubuhkan (jawatankuasa khas) dan terus siasatan.

“Ada hasil atau tidak? Dua kali saya sebut tadi, kertas siasatan sudah dihantar kepada Peguam Negara, dan adakah proses melengkapkannya terganggu? Tidak terganggu sama sekali, kita menunggu laporan balistik dan forensik, dan saya sebut bahawa kita akan serah kepada Peguam Negara, dan kalau waktu itu berdasarkan hala tuju siasatan berakhir dengan Peguam Negara nak invoke (guna) kuasa di bawah 145, dan kita ikut proses itu.

“Jadi saya tak boleh berikan jawapan secara jelas bahawa budak perempuan tadi (kes di Kedah), yang ini tak kena. Sebab kes menggunakan dua undang-undang yang berbeza,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top