Ahmedabad: Seorang bekas konstabel polis meninggal dunia sehari selepas Mahkamah Tinggi Gujarat membebaskannya daripada kes rasuah yang sudah berlanjutan hampir tiga dekad, lapor Times of India.
Babubhai Prajapati, 64, dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan kes 1996, yang mana dia dituduh menerima suapan 20 rupee (kira-kira 86 sen) daripada seorang pemandu lori.
Kes itu bermula pada 20 November 1996 apabila pegawai Biro Antirasuah (ACB) menerima aduan bahawa polis mengutip 20 rupee (kira-kira 86 sen) daripada pemandu lori untuk membenarkan kenderaan mereka memasuki bandar secara haram.
Tiga konstabel dari balai polis Vejalpur iaitu Prajapati, Sevenkumar Rathwa dan Nasrullah Khan didakwa menerima wang berkenaan.
Pada 2004, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas ketiga-tiga tertuduh, menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan.
Bagaimanapun, ketiga-tiganya mencabar keputusan berkenaan di Mahkamah Tinggi Gujarat, tetapi rayuan mereka tertangguh lebih dua dekad.
Minggu lalu, Hakim S V Pinto membebaskan ketiga-tiga konstabel itu daripada pertuduhan berkenaan, hampir 30 tahun selepas kejadian yang didakwa berlaku.
Prajapati, yang sebelum ini tinggal di Ahmedabad, berpindah ke kampung halamannya di daerah Patan sepanjang tempoh perbicaraan yang panjang.
Khamis lalu, sehari selepas mengetahui dirinya dibebaskan daripada pertuduhan itu, Prajapati mengunjungi peguamnya dan berbincang mengenai kemungkinan tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula bayaran berkaitan perkhidmatan. Tetapi, dia kemudian tidak berminat memulakan prosiding lanjut.
Difahamkan, pada malam itu, Prajapati tinggal di rumah anak saudaranya dan pada pagi Jumaat lalu, dia meninggal dunia semasa tidur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




