Lineker berseloroh supaya Mainoo saman Amorim

Lineker berseloroh supaya Mainoo saman Amorim

Manchester: Legenda bola sepak England, Gary Lineker secara berseloroh menyarankan Kobbie Mainoo supaya “menyaman” bekas pengendali Manchester United, Ruben Amorim susulan keputusan mengejutkan mengetepikan pemain tengah muda itu hampir sepanjang musim ini.

Mainoo kembali menjadi tonggak utama sejak Michael Carrick mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara, dengan pemain berusia 20 tahun itu sekali lagi menyerlah ketika United menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 di Old Trafford, Sabtu lalu.

Lineker menyifatkan tindakan Amorim meminggirkan Mainoo sebagai membingungkan, sambil memuji kualiti semula jadi pemain antarabangsa England berkenaan.

“Jika saya Kobbie Mainoo – ini sekadar gurauan – saya mungkin akan fikir sama ada patut menyamannya atau tidak.

“Dia sudah mengambil masa setahun daripada kerjaya pemain muda ini. Mainoo adalah pemain bola sepak yang luar biasa.

“Dia nampak tenang, sentiasa mahu bola, mampu menerima tekanan, dan membuat keputusan tepat. Dia sangat hebat di atas padang.

“Keputusan Amorim benar-benar menjejaskan perkembangan kerjayanya. Jika dia tidak terpilih ke Piala Dunia nanti, itu satu kerugian besar kerana dia pemain yang sangat bagus,” kata Lineker dalam podcast The Rest is Football.

Rakan hos, Alan Shearer turut bersetuju dan berpendapat Amorim pasti berasa malu melihat peningkatan mendadak prestasi Mainoo sejak kembali dalam kesebelasan utama.

Lineker berseloroh lagi: “Tunggu saja surat daripada peguam Kobbie.”

Sejak Carrick mengambil alih, United mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Mainoo beraksi penuh dalam semua perlawanan itu dan terus menerima pujian meluas atas peranannya mengawal bahagian tengah bersama Casemiro.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top