Putrajaya: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad, akan mengetahui esok sama ada beliau akan terus menikmati kebebasan atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas sembilan tuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Nordin Hassan, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali akan mengumumkan keputusan terhadap rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Pihak pendakwaan berhasrat mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, dengan tambahan 18 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.
Mohd Isa telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024. Keputusan itu mendorong pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Persekutuan.
Panel hakim mendengar rayuan itu pada Khamis lalu dan menetapkan esok untuk keputusan.
Mohd Isa didakwa menerima RM3.09 juta dalam bentuk suapan melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
Ia sebagai ganjaran atas peranannya memudahkan kelulusan Felda Investment Corporation Sdn Bhd bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, pada harga RM160 juta.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu dan peguam Mohd Isa, M. Athimulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




