Antara kepercayaan dan keresahan di St James' Park

Antara kepercayaan dan keresahan di St James' Park

Di atas kertas, semuanya nampak tenang dan Lembaga pengarah Newcastle United masih utuh berdiri di belakang Eddie Howe.

Tiada desakan pemecatan, tiada mesyuarat kecemasan, tiada juga bayangan ‘butang kecemasan’ ditekan di St James’ Park selepas mereka tumpas di tangan Brentford.

Tapi bola sepak bukan sekadar soal apa yang ditulis dalam minit mesyuarat.

Persoalannya bukan lagi adakah Newcastle mahu Howe, tetapi adakah Howe masih merasakan Newcastle mahukan beliau.

Musim lalu, Howe diangkat sebagai arkitek kebangkitan selepas The Magpies menjulang trofi Piala Liga menamatkan kemarau panjang dan meraih tiket Eropah juga jadi simbol kemajuan.

Newcastle dilihat sedang mendaki, bukan sekadar berjalan di tempat sama. Namun musim ini ceritanya berbeza apabila konsistensi hilang, kecederaan datang bersilih ganti, jadual pula tidak kenal simpati.

Kedudukan liga di pertengahan carta (12) bukan sesuatu yang membunuh harapan, tetapi cukup untuk mengundang keresahan.

Detik paling jelas? Kekalahan di laman sendiri kepada Brentford. Bukan kerana tewas semata-mata, tetapi kerana bunyi dari tempat duduk penonton dan buat pertama kali musim ini, kekecewaan penyokong kedengaran jelas.

Ejekan yang bergema di St James’ Park bukan kebiasaan, dan Howe sendiri tidak menutup mata terhadap hakikat itu.

Beliau faham emosi penyokong, malah mengakui kekecewaan mereka ada asasnya.

Bukan kerana pengurusan sudah hilang sabar, mereka masih faham konteks: kecederaan pemain utama, komitmen domestik dan Eropah yang bertindan, serta skuad diuji hingga sedalam-dalamnya.

Jika beliau mula rasa hubungan dengan penyokong retak, jika keyakinan dari tempat duduk penyokong semakin pudar, keputusan besar mungkin datang bukan dari bilik lembaga, tetapi dari hati seorang pengurus yang berprinsip.

Soal masa depan Howe bukan mengenai esok atau lusa. Ia mengenai sama ada beliau masih percaya perjalanan ini berbaloi untuk diteruskan, walaupun sorakan sudah tidak sekuat dulu.

Dalam bola sepak, kadang-kadang yang pergi bukan kerana dihalau, tetapi kerana sudah tidak rasa dihargai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top