Rosenior puji jiwa kental Chelsea

Rosenior puji jiwa kental Chelsea

London: Pengurus Chelsea, Liam Rosenior, memuji ketabahan mental pemainnya selepas mencatatkan beberapa kemenangan berturut-turut sejak beliau mengambil alih bulan lalu, dengan satu-satunya kekalahan ialah dua perlawanan menentang Arsenal di separuh akhir Piala Liga.

Pasukan Rosenior bangkit daripada ketinggalan untuk menamatkan bulan Januari dengan kemenangan berturut-turut 3-2 ke atas Napoli dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan West Ham United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mereka juga menewaskan pasukan bawahan, Wolverhampton Wanderers, 3-1 di tempat lawan pada Sabtu lalu, menjadikan ia kemenangan berturut-turut keempat dalam liga utama England.

Chelsea, yang akan menentang Leeds United pada Rabu ini, ketinggalan satu mata di belakang Manchester United yang berada di tangga keempat Liga Perdana, dan sudah mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

“Saya tidak bercakap mengenai apa yang berlaku sebelum saya.

“Dua kekalahan kami berlaku menentang pasukan yang ramai mengatakan antara terbaik di Eropah (Arsenal) dan kami tidak mempunyai semua pemain utama dalam kedua-dua perlawanan itu,” kata Rosenior kepada wartawan.

Arsenal mendahului EPL dan menjuarai peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas peringkat awal.

“Pemain menunjukkan ketabahan mental yang luar biasa, kualiti yang tinggi, untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol menentang West Ham, dan bangkit menentang Napoli. Saya langsung tidak mempersoalkan ketabahan mental mereka,” tambah Rosenior.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top