Barcenola: Joan Laporta meletakkan jawatan sebagai presiden Barcelona bagi membolehkannya bertanding semula dalam pemilihan kepimpinan kelab itu, sekali gus memulakan kiraan detik 35 hari menjelang pilihan raya yang dijadual berlangsung pada 15 Mac.
Laporta, yang mengambil alih jawatan pada Mac 2021 selepas memenangi 54 peratus undi, mengundur diri selaras dengan statut kelab selepas hampir lima tahun menerajui Barcelona.
Naib Presiden, Rafa Yuste, akan memangku jawatan presiden untuk tempoh tiga setengah bulan akan datang.
Peguam itu berhasrat kembali memegang jawatan bermula 1 Julai dan dilihat sebagai calon pilihan untuk menewaskan pencabar utamanya, Victor Font.
Dua lagi individu turut mengesahkan hasrat bertanding iaitu bekas eksekutif kelab, Xavier Vilajoana, serta ahli ekonomi, Marc Ciria, yang pertama kali menyertai pemilihan presiden Barcelona.
Kira-kira 100,000 ahli Barcelona yang berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai keahlian sekurang-kurangnya setahun layak mengundi.
Kelab itu mengesahkan pemilihan sekali lagi akan diadakan di beberapa lokasi bagi meningkatkan kadar keluar mengundi.
Pusat pengundian akan dibuka di fasiliti kelab, selain di Girona, Tarragona, Lleida dan Andorra la Vella.
Bagaimanapun, undian pos tidak akan dibenarkan walaupun terdapat permintaan daripada calon pembangkang.
“Undian pos hanya dilaksanakan secara luar biasa pada pemilihan 2021 susulan pandemik Covid-19,” menurut kenyataan kelab.
Lebih 20,000 daripada 55,000 ahli yang mengundi pada 2021 menggunakan kaedah undian pos.
Penggal terkini Laporta menyaksikan tempoh penuh cabaran dan perubahan buat Barcelona, bermula dengan perpindahan Lionel Messi ke Paris Saint Germain, sebelum kelab itu bangkit mempertahankan kejuaraan LaLiga dan Copa del Rey, selain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.
Barcelona kini turut dibarisi bintang muda berusia 18 tahun, Lamine Yamal, graduan La Masia yang perkembangannya dipantau sendiri oleh Laporta dari tempat duduk penyokong.
Di luar padang, Barcelona kembali beraksi di Camp Nou pada November lalu selepas dua setengah tahun menjalani kerja naik taraf, meskipun kapasiti masih terhad dan projek itu sedikit lewat dari jadual asal.
Kepulangan itu menyuntik semula keyakinan penyokong di bawah kendalian jurulatih Jerman, Hansi Flick, yang berjaya memikat hati peminat dengan corak permainan menyerang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




