Genre muzik Timur semakin diterima dengan baik

Genre muzik Timur semakin diterima dengan baik

georgie@hmetro.com.my

DIPANDANG sebelah mata saja sebelum ini, muzik masyarakat Timur dari Indonesia cetus fenomena terutama sejak tahun lalu. Kebangkitan karya mereka kian diiktiraf berbanding muzik pop di negara seberang.

Dua penyanyi yang cukup menjadi sorotan kini tentunya Silet Open Up yang fenomena dengan lagu Tabola Bale, manakala Faris Adam pula menerusi Stecu Stecu. Lagu-lagu itu menguasai pelbagai platform media sosial.

Semestinya penerimaan luar biasa dan serius industri muzik arus perdana terhadap mereka membawa makna cukup besar. Ini kerana lama mereka menanti untuk perjuangan itu mendapat ruang.

Silet atau nama sebenarnya Siprianus Bhuka, 33, berkata ‘diskriminasi’ terhadap muzik mereka memang wujud sekian lama. Muzik yang diangkat di Indonesia berat sebelah kepada bahasa nasional semata-mata.

“Kami sering berasa muzik dari wilayah Timur itu dipandang sebelah mata sewaktu tahun sebelum ini. Persepsi serong ini wujud sejak sekian lama dalam industri hiburan serantau.

“Malah terdapat penyanyi asal Timur jarang mendedahkan identiti sebenar mereka kepada khalayak umum. Kebanyakan mereka mendendangkan lagu Bahasa Indonesia baku dengan tatabahasa amat tepat.

“Jarang sekali penyanyi dari Timur Indonesia itu membawakan lagu dengan loghat asli mereka. Dia tidak menonjolkan ciri khas bahasa ibunda apabila membuat persembahan di pentas,” katanya.

Bagaimanapun, Silet lega apabila revolusi muzik Timur mula terjadi lebih enam tahun yang lalu. Dari sana, pendengar muzik tempatan malah di luar Indonesia kian ‘obses’ dengan genre baharu muzik Timur.

Kepuasan lebih terasa apabila identiti mereka ditonjolkan dengan jujur dalam lagu-lagunya. Tiada lagi dilema mahu komersialkan dialek mereka sendiri berbanding paksa diri guna Bahasa Indonesia standard.

“Keadaan berubah sewaktu beberapa tahun terakhir ini bermula sejak pandemik Covid 19 melanda dunia. Lagu bertajuk Kaka Main Salah sudah mula membuka ruang pendengar menerima irama Timur.

“Penyanyi Timur sebelum ini sebenarnya menyanyi tetapi dianggap sebagai artis Indonesia biasa sahaja. Ia terjadi kerana mereka menggunakan Bahasa Indonesia baku dengan intonasi amat betul.

“Namun, kini kami mula menyanyi dalam Bahasa Indonesia tetapi menerapkan budaya Timur terbabit. Contoh perkataan saya ditukar menjadi sa, manakala kau pula disebut sebagai ko,” katanya.

Seiring revolusi itu, mereka kini dalam proses memperjuangkan untuk dapatkan pengiktirafan rasmi terhadap genre muzik dari Timur. Ini kerana identiti muziknya memang jatuh pada mana-mana genre sedia ada.

Silet berkata genre irama mereka hasilkan itu sedang hangat diperbincangkan di seluruh Indonesia sekarang. Mereka sempat mencetuskan satu nama unik iaitu dikenali sebagai Timur-nesia.

“Kami memilih sebutan nama unik itu menjadi Timurnesia kerana lagunya berasal dari Indonesia Timur. Sewaktu abang bertanya mengenai genrenya dahulu, kami jujurnya belum mampu menjawab.

“Nama terbabit masih belum disahkan lagi secara rasmi kerana ia perlu dikaji dahulu. Timurnesia mempunyai banyak ciri khas unik dari segi penggunaan bahasa serta loghat.

“Kami semua sedang memperjuangkan hal ini supaya wartawan jelas mengenai jenis muzik dibawa. Kami kini membentuk satu identiti khusus dikenali sebagai Timurnesia buat masa ini,” katanya.

Silet menyifatkan Timurnesia satu wadah seperti rumah besar memiliki pelbagai cabang kecil di dalamnya. Lagu rancak sering didengari itu adalah subgenre bernama Pesta atau Disko Tanah.

Menurutnya, semua jenis irama muzik dari wilayah Timur itu termasuk dalam kategori induk Timurnesia. Mereka mahu menjadikan nama terbabit identiti rasmi seperti muzik K-Pop dari Korea.

“Perjumpaan sudah diadakan pada tarikh 26 Januari lalu bersama Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan. Pertemuan penting ini dihadiri oleh Giring Nidji serta menteri Fadli Zon di situ,” katanya.

Meskipun segala urusan berjalan lancar, namun timbul perbualan hangat selepas acara keraian itu tamat. Ramai orang mula bertelagah di aplikasi TikTok memberikan pelbagai reaksi pro dan kontra.

Golongan Gen-Z berfikiran terbuka menyokong usaha itu tetapi ramai orang tua pula menentang. Mereka tidak sependapat kerana mereka didakwa mencipta aliran baharu tanpa berbincang dahulu.

“Jawapan kami adalah pertemuan ini terjadi kerana kami dijemput hadir ke situ. Kami membincangkan nama genre sesuai bersama pihak kerajaan menerusi audio siar Deddy Corbuzier.

“Akhirnya satu pertemuan rasmi dibuat dan kami bersetuju untuk menetapkan satu nama khas. Perundingan panjang dilakukan sebelum perkataan Timurnesia dipilih sebagai kata sepakat semua pihak.

“Artis veteran mempersoalkan kenapa mereka tidak diundang hadir sewaktu perbincangan penting itu diadakan. Kami menjelaskan bahawa genre muzik mereka seperti Pop atau Reggae sudah cukup jelas,” katanya.

Namun, buat Silet, mereka sedang berjuang kerana muzik terbabit masih belum mempunyai klasifikasi genre secara jelas. Artis lama tidak perlu risau kerana kategori lagu mereka sebenarnya sudah sangat nyata.

Dalam perkembangan lain, Silet, Faris, dan Echo Show bakal beraksi pada Malam FYP Timur di Zepp KL anjuran Gaga Entertainment pada 24 April nanti. Penampilan itu adalah yang pertama buat mereka di Kuala Lumpur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top