UNITED KINGDOM – Raja Charles III buat pertama kali mengeluarkan kenyataan berhubung pendedahan terbaharu skandal Jeffrey Epstein, dengan mengatakan bahawa Istana Buckingham bersedia untuk menyokong pihak polis dalam menyiasat dakwaan terhadap adiknya, Andrew Mountbatten-Windsor.
Menurut catatan terbaharu koresponden diraja dari BBC News, Sean Coughlan yang memetik jurucakap istana, Raja Charles III dengan jelas menyatakan kebimbangan mendalamnya terhadap dakwaan yang terus muncul berhubung perlakuan Andrew.
“Walaupun dakwaan spesifik ini perlu dijawab oleh Andrew sendiri, namun sekiranya kami dihubungi oleh Polis Thames Valley, kami bersedia memberikan sokongan sepertimana sewajarnya,” kata jurucakap istana itu pada Isnin.

Andrew
Polis Thames Valley mengesahkan bahawa pihaknya sedang menilai keperluan untuk menyiasat aduan dibuat kumpulan anti-monarki, Republic yang melaporkan Andrew atas dakwaan salah laku dalam jabatan awam dan pelanggaran rahsia rasmi.
E-mel daripada ‘Epstein Files’ yang didedahkan baru-baru ini menunjukkan bekas putera raja itu menyampaikan laporan lawatan negara ke Singapura, Hong Kong dan Vietnam serta butiran sulit mengenai peluang pelaburan.
Selepas lawatan tersebut, pada 30 November 2010, beliau didakwa memajukan laporan rasmi lawatan yang dihantar oleh penasihat khasnya ketika itu, Amit Patel kepada Epstein, lima minit selepas menerimanya.
Selain itu, terdapat butiran mengenai peluang pelaburan di Afghanistan yang digambarkan sebagai ‘sulit’, dipercayai disalurkan kepada Epstein pada 24 Disember 2010.
Di bawah garis panduan rasmi, utusan perdagangan mempunyai kewajipan untuk menjaga kerahsiaan maklumat sensitif, komersial atau politik berkaitan lawatan mereka.
Kenyataan Istana Buckingham turut menyebut bahawa Raja Charles III dan Permaisuri Camilla sentiasa bersama mangsa serta merasa simpati dengan apa yang dialami mereka.
Baru-baru ini, Raja Charles III berkenan mengadakan lawatan ke Clitheroe, namun tiba-tiba disapa dengan jeritan seorang pemuda yang bertanyakan ‘sejak bila kamu tahu tentang Andrew?’
Campur tangan Istana Buckingham itu menyusuli kenyataan terdahulu daripada jurucakap Putera dan Puteri Wales iaitu William serta Kate Middleton.
Kedua-duanya menzahirkan perasaan yang amat bimbang dengan pendedahan terbaharu berkaitan pesalah seks, mendiang Epstein.
“Fikiran mereka (William dan Kate) kekal tertumpu kepada semua mangsa,” kata jurucakap Istana Kensington menjelang lawatan Putera William ke Arab Saudi minggu ini.
Sejak pendedahan tiga juta lagi dokumen berkaitan Epstein, tekanan terhadap Andrew dilaporkan semakin meningkat, termasuk dakwaan wanita kedua dihantar ke United Kingdom oleh Jeffrey Epstein untuk mengadakan pertemuan seksual dengannya.
Gambar menunjukkan beliau berlutut di atas seorang wanita yang sedang terbaring turut dimasukkan dalam ‘Epstein Files’.
Bekas isterinya, Sarah Ferguson juga terpalit malu apabila terdapat e-mel yang ditandatanganinya menunjukkan dia merayu, meminta sokongan dan wang daripada Epstein.
Minggu lepas, Andrew dipindahkan lebih awal berbanding jangkaan daripada kediamannya di Royal Lodge, Windsor ke estet peribadi Raja di Sandringham.
Pada Oktober tahun lalu selepas tercetusnya gelombang pendedahan mengenai hubungannya dengan Epstein, Andrew dilucutkan gelaran putera raja termasuk Duke of York.
Andrew secara konsisten dan tegas menafikan sebarang salah laku.
Jelasnya, dinamakan dalam ‘Epstein Files’, tidak bermaksud wujudnya salah laku.
Ringkasan AI
- Raja Charles III mengeluarkan kenyataan tentang kesediaan Istana Buckingham menyokong siasatan polis berkaitan adiknya dan skandal Jeffrey Epstein
- Istana bersedia memberikan sokongan kepada Polis Thames Valley jika dihubungi berhubung dakwaan terhadap Andrew Mountbatten-Windsor
- Andrew dikatakan telah mengirimkan maklumat sulit dan sensitif kepada Epstein termasuk laporan lawatan negara dan peluang pelaburan
- Istana Buckingham menyatakan simpati kepada mangsa dan menekankan keadilan harus ditegakkan
- Andrew dilucutkan daripada gelaran dan tanggungjawab kerajaan selepas hubungannya dengan Epstein terdedah, tetapi menafikan sebarang salah laku



