bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur : Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara supaya selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (KUUL) 1982, susulan dua undang-undang maritim yang diluluskan Filipina pada 2024.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sudah membuat bantahan secara rasmi terhadap undang-undang Philippine Maritime Zone Act dan Philippine Archipelagic Sea Lanes Act ke atas zon maritim dan fitur maritim yang membabitkan kawasan maritim Malaysia berdasarkan kepada Peta Baru Malaysia 1979.
Katanya, ia disebabkan menyentuh hal ehwal kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa dan kepentingan Malaysia.
“Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan ini diiktiraf masyarakat antarabangsa. Rakyat Sabah sudah melaksanakan hak menentukan sendiri atau self-determination, status kedudukan Sabah untuk berada dalam Persekutuan Malaysia.
“Laporan Suruhanjaya Cobbold bertarikh 1 Ogos 1962 kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, lebih daripada dua pertiga rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia pada tahun 1963.
“Pada 14 September 1963, Setiausaha Agung PBB melaporkan kepada Perhimpunan Agung PBB bahawa rakyat Sabah menyokong penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Gapari (GRS-Keningau), semalam.
Pada 7 November 2024, Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr menandatangani dua undang-undang maritim iaitu Akta Zon Maritim Filipina,atau Philippine Maritime Zone Act dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina, atau Philippine Archipelagic Sea Lanes Act.
Philippines Archipelagic Sea Lanes Act 2024 adalah undang-undang baharu Filipina bagi tujuan pentadbiran dan pelaksanaan satu laluan, atau archipelagic sea lanes oleh kerajaan republik itu terhadap kapal dan pesawat terbang negara asing.
Pada hari yang sama, Presiden Filipina juga meluluskan Philippines Maritime Zone Act 2024 yang mengisytiharkan zon maritim negara itu yang didakwa berada dalam bidang kuasa negara berkenaan.
Mengikut koordinat yang dinyatakan dalam Presidential Decree No. 1596 tahun 1978, didapati kawasan itu menceroboh kawasan maritim Malaysia di utara negeri Sabah berdasarkan kepada Peta Baru Malaysia 1979.
© New Straits Times Press (M) Bhd




