Isu kuil Hindu berlarutan, Hindu Sangam minta PM Anwar pertimbangkan secara adil

Isu kuil Hindu berlarutan, Hindu Sangam minta PM Anwar pertimbangkan secara adil

Malaysia Hindu Sangam (MHS) mengingatkan kerajaan supaya sebarang tindakan penguatkuasaan berkaitan kuil Hindu dilaksanakan secara adil dengan mengambil kira implikasinya terhadap keharmonian agama di negara ini.

Malaysia Hindu Sangam dakwa banyak kuil berdepan isu legasi

Memetik laporan daripada Malaysiakini, Presidennya, T Ganesan menyatakan, banyak kuil Hindu di Malaysia berdepan isu legasi yang telah berlarutan sejak sebelum merdeka, berpunca daripada perubahan sejarah serta sosioekonomi, selain kelemahan tadbir urus pada masa lalu.

“Banyak kuil Hindu telah wujud sejak puluhan, malah ratusan tahun, dan berfungsi bukan sahaja sebagai tempat ibadat, tetapi juga sebagai pusat kebudayaan, kebajikan dan identiti komuniti setempat.
“Sejarah kewujudan ini perlu diberi pertimbangan yang adil dan berperikemanusiaan dalam sebarang tindakan pentadbiran.
“MHS menegaskan bahawa kewujudan kuil tanpa kelulusan formal sering berpunca daripada kekangan sejarah, kelemahan tadbir urus lampau, perubahan status tanah serta ketiadaan mekanisme penyelesaian yang jelas pada peringkat awal — dan bukan semata-mata akibat keingkaran undang-undang oleh komuniti,” katanya.

Hindu Sangam mahu pertimbangan yang adil & berperikemanusiaan

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik pihak yang mewajarkan pembinaan rumah ibadat melanggar undang-undang serta tindakan mengambil langkah sendiri bagi menangani isu tersebut.

“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana di bawah pohon, di mana-mana. Ini mesti dibendung,” katanya sambil memaklumkan pihak berkuasa tempatan diarahkan merobohkan rumah ibadat yang dibina secara haram.

Mengulas lanjut, Ganesan berkata banyak kuil Hindu yang wujud lebih 100 tahun bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat, malah sebagai hab budaya dan identiti komuniti.

“Sejarah kewujudan ini perlu diberi pertimbangan yang adil dan berperikemanusiaan dalam sebarang tindakan pentadbiran,” tambahnya.

Artikel lain: PM Anwar benarkan PBT bersihkan kawasan bukan hak kuil

Beliau turut memaklumkan bahawa satu memorandum komprehensif telah dikemukakan kepada Pejabat Perdana Menteri hasil mesyuarat pihak kuil pada 6 April tahun lalu, termasuk cadangan penubuhan sebuah badan khas di bawah PMO bagi mengurus dan menyelaras urusan kuil Hindu.

“Cadangan ini bertujuan menyediakan penyelesaian jangka panjang dan berstruktur, termasuk mekanisme pemutihan (regularisation / whitening) kuil-kuil yang mempunyai isu pemilikan tanah, selaras dengan undang-undang, keadilan sosial dan realiti sejarah kewujudan kuil di Malaysia,” katanya.

Hindu Sangam mahu Putrajaya & kerakaan negeri beri pertimbangan

Sehubungan itu, Ganesan menggesa Putrajaya dan kerajaan negeri memberi pertimbangan serius terhadap memorandum berkenaan serta mengutamakan pendekatan dialog.

“MHS menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan semua pemegang taruh bagi memastikan rumah ibadat Hindu dipelihara, diurus secara sah dan dihormati, selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menjunjung keadilan, ihsan dan keterangkuman,” katanya.

hindu sangam

Sumber: Malaysiakini 

Scroll to Top