Pemandu pikap maut dihempap lori simen terbalik

Pemandu pikap maut dihempap lori simen terbalik

mdroji@bh.com.my

Sibu: Seorang lelaki warga emas maut selepas pikap yang dipandunya dihempap sebuah lori simen dalam kemalangan jalan raya di Jalan Deshon, berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhobi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Lee Teck Kee, 60, tersepit di dalam pikap jenis Toyota Hilux selepas lori simen terbabit terbalik dan menghempap kenderaan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.18 tengah hari sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, seramai lapan anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat dan memberi bantuan awal kepada mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah Toyota Hilux berada dalam keadaan remuk selepas dihempap lori simen, manakala mangsa masih berada di dalam kenderaan dan tidak sedarkan diri.

“Tindakan awal pasukan penyelamat adalah dengan menggunakan peralatan ‘air bag’ bagi membuka ruang untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun usaha tersebut tidak berjaya berikutan kedudukan lori yang menghempap kenderaan mangsa,” katanya.

Berikutan itu katanya, bantuan dua kren dari pihak swasta tiba di lokasi bagi mengangkat lori simen berkenaan.

“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top