UMNO menegaskan pendiriannya untuk kekal terbuka menerima semula mana-mana individu yang mahu kembali menyertai parti itu, termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kini berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin oleh partinya sendiri.

Pintu terbuka luas untuk individu yang ingin kembali bersama
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka kepada pemimpin atau individu yang ingin bersama UMNO semula, selaras dengan objektif penubuhan gagasan tersebut.
“Sebagaimana objektif penubuhan Rumah Bangsa, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai UMNO, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.
“UMNO ialah tempat untuk ahli UMNO atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan Hamzah dalam BERSATU.

Ambil pendekatan inklusif
Zahid turut menjelaskan UMNO mengambil pendekatan inklusif sebagai usaha menyatukan kembali orang Melayu di bawah satu wadah politik yang stabil serta berpengalaman.
Untuk rekod, Hamzah sebelum ini merupakan antara enam Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti itu pada 14 Disember 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Zahid ketika itu.

Artikel lain: Wan Fayhsal cabar ‘musuh-musuh’ Hamzah Zainudin -“Nak pecat, pecat betul-betul!”
Ketika ini, BERSATU yang sedang berdepan krisis dalaman dikatakan mengaitkan nama Hamzah sebagai antara pemimpin yang berpotensi dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan.
Malah, beliau turut dilaporkan dipanggil menghadap lembaga disiplin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan serta serangan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sumber: Utusan Malaysia (Erma Yusnida Jusoh)




